Jangan jatuhkan hukuman sehingga disahkan pihak berkuasa

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Asmadi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Asmadi)
A
A
A

KUANTAN - Masyarakat dinasihatkan tidak menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana syarikat sehingga disahkan pihak berkuasa bahawa mereka melakukan kesalahan itu.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, bagaimanapun mereka boleh mengambil langkah berhati-hati dengan peringatan tersebut.

Menurutnya, sekiranya syarikat dikaitkan dengan akidah dan syariah yang salah atau amalan tasauf yang diselewengkan, mereka hendaklah bertaubat.

"Mereka hendaklah mendedahkan amalan-amalan mereka agar para alim ulama boleh memberikan pandangan dan saranan.

"Jika amalan-amalan ini disembunyikan, tuduhan-tuduhan akan terus berlaku kepada syarikat tersebut dan ini akan menimbulkan persepsi kepada orang ramai bahawa syarikat tersebut sememangnya mempunyai modus operandi untuk menutup ruang bagi memperbaiki kesilapan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Asmadi menjelaskan keadaan tersebut terjadi mungkin disebabkan faktor kesalahfahaman dalam memahami konsep perniagaan yang berjaya.

Katanya, mereka juga akan sentiasa dituduh sebagai syarikat mengorbankan pekerja dan keluarga mereka demi keuntungan serta populariti.

"Syarikat tidak boleh mengaitkan kesetiaan kepada organisasi sebagai ketaatan kepada agama kerana tindakan tersebut seperti menggunakan agama untuk kepentingannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Asmadi berkata sesebuah syarikat apabila menjalankan perniagaan, mestilah mempunyai akad yang jelas dengan setiap pekerja mereka.

Ujarnya, hendaklah dinyatakan mengenai data-data tentang spesifikasi kerja dan jumlah gaji yang akan diperolehi.

Beliau menambah, ia juga hendaklah dibuktikan dengan adanya slip gaji dan pekerja mestilah bebas menerima serta memegang gaji mereka.

"Pekerja boleh menyumbang semula sebahagian atau semua gaji mereka kepada majikan (walau tindakan sebegini adalah pelik bila menyumbang semula pada majikan).

"Namun sumbangan tersebut hendaklah datang daripada kehendak mereka sendiri iaitu bebas tanpa apa-apa tekanan atau paksaan," katanya.

Terdahulu, Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dilaporkan sedang memantau syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd ( GISB) susulan empat laporan polis yang diterima berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi itu susulan laporan polis dilakukan di Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Laporan berkenaan dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana, derma dan sebagainya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!