PKNK, BKH Solar tandatangani perjanjian pembangunan loji tenaga solar skala besar

Isahak (duduk, dua kiri) menandatangani perjanjian antara PKNK dan BKH Solar Sdn Bhd bagi projek Pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di Bukit Kayu Hitam.
Isahak (duduk, dua kiri) menandatangani perjanjian antara PKNK dan BKH Solar Sdn Bhd bagi projek Pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di Bukit Kayu Hitam.
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menandatangani perjanjian dengan BKH Solar Sdn Bhd bagi projek Pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di Bukit Kayu Hitam di daerah Kubang Pasu, di sini pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Isahak Murat berkata, pembangunan loji tenaga solar ini meliputi kawasan seluas 137 ekar dan mampu menjana 30MegaWatt (MW) tenaga elektrik.

Beliau berkata, projek ini melibatkan syarikat dari dalam dan luar negara iaitu Conextone Energy dan ENGIE yang berpangkalan di France dengan jumlah pelaburan sebanyak RM150 juta.

"Pembangunan loji tenaga solar ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan serta membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

"Malah, ia dijangka menjana pendapatan jangka masa panjang kepada PKNK berjumlah RM18 juta bagi tempoh 23 tahun," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara PKNK dan BKH Solar Sdn Bhd di Wisma PKNK, di sini pada Isnin.

Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian bagi Projek Pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di bawah CGPP di Bukit Kayu Hitam.
Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian bagi Projek Pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di bawah CGPP di Bukit Kayu Hitam.

Sebelum ini, Majlis Menandatangani Perjanjian bagi Projek Pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di bawah CGPP di Bukit Kayu Hitam itu disaksikan Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi PKNK, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali serta Pengarah BKH Solar Sdn Bhd,Qiang Xiaoyu dan Ernesto Rua Garcia.

Kongsi Isahak, kawasan tanah di Bukit Kayu Hitam dipilih memandangkan ia menerima pencahayaan matahari yang cukup tinggi.

Beliau menyifatkan, projek berimpak tinggi seumpama itu menjadi titik tolak dan detik bersejarah kepada sesuatu organisasi.

Sehubungan itu, Isahak berkata, ia amat penting kerana membuktikan PKNK sebagai agensi utama di Kedah melaksanakan tanggungjawab untuk memajukan industri solar.

"Terima kasih kepada semua yang memilih PKNK sebagai rakan strategik mereka dalam projek ini.

"Kita hendak jadikan pelaburan RM150 juta sebagai kenyataan kerana lokasinya tidak jauh dalam kawasan pembangunan utama Bukit Kayu Hitam,iaitu Special Border Economic Zone (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam," katanya.

Beliau berkata, projek tenaga solar akan menjadi pelengkap projek pembangunan berjalan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Pengurus Besar BKH Solar Sdn Bhd, Muhammad Syahmi Faiz Ahmad Khan berkata, pihaknya turut berharap projek dengan nilai pelaburan hampir RM150 juta akan menyediakan peluang pekerjaan dan akan memberi impak ekonomi sampingan khususnya di Bukit Kayu Hitam.

"Cita-cita saya agar satu hari Negeri Kedah juga dapat menjadi hub tenaga hijau demi menyahut sepenuhnya aspirasi Menteri Besar Kedah merealisasikan agenda The Greater Kedah," katanya.

Dalam perkembangan sama, tambah Muhammad Syahmi, beliau mewakili syarikat pemegang saham utama BKH Solar Sdn Bhd, iaitu Conextone Energy Sdn Bhd juga ingin menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Tabung Amanah Tunku Mahmud.

Beliau berkata, ia sebahagian inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat kepada kerajaan negeri bagi membantu anak-anak Kedah yang fakir, miskin dan dalam kesusahan khususnya untuk tujuan pendidikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!