Komanwel dan pembangunan belia

No Image Caption
A
A
A

PERTENGAHAN Ogos lepas saya berada di Marlborough House, Sekretariat Komanwel London menghadiri Mesyuarat The Commonwealth Youth Ministerial Taskforce (CYMTF).

Kehadiran saya mewakili Commonwealth Alliance of Youth Workers Association (CAYWA) sebagai pengerusi bersama. Malaysia dan Jamaica adalah pengerusi bersama CAYWA dan CAYWA merupakan ahli penuh kepada task force ini.

Kepercayaan ini merupakan pengiktirafan kepada Malaysia kerana dilihat mempunyai ekosistem pembangunan belia antara terbaik di dunia.

CYMTF merupakan jawatankuasa penasihat Commonwealth Youth Programme (CYP) di bawah Sekretariat Komanwel. Komanwel yang merupakan gugusan 56 negara-negara bekas jajahan British dilihat sangat terkehadapan dalam aspek pembangunan belia.

CYP telah ditubuhkan pada Ogos 1973 sebagai sebahagian aktiviti Sekretariat Komanwel bagi membangunkan belia di seluruh Komanwel.

Komanwel sangat memberikan perhatian khusus kepada belia kerana hampir 60 peratus daripada 2.5 bilion penduduk Komanwel adalah anak muda di bawah 30 tahun.

Ia membentuk 1.2 bilion jiwa anak muda. Komanwel melihat anak muda dalam lingkungan 15-29 tahun sebagai aset berharga yang harus diberdayakan untuk mencapai potensi maksima.

Sebagai fakta, 2023-2024 diisytiharkan oleh Komanwel sebagai Year of Youth dengan memfokuskan kepada pelbagai program pembangunan belia di seluruh Komanwel.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai program dan peruntukan dikhususkan untuk menjayakan program pembangunan belia Komanwel.

Satu ketika dahulu, selain sekretariat utama CYP di Sekretariat Komanwel London, CYP juga beroperasi di empat wilayah Komanwel iaitu di Zambia mewakili Afrika, India mewakili Asia, Soloman Islands mewakili Kepulauan Pasifik dan Guyana mewakili Carribbean.

Namun empat pejabat wilayah ini ditutup atas faktor kewangan.

Malaysia dilihat sebagai negara Komanwel yang sangat aktif membangunkan belia secara terancang dan berstruktur. Acapkali Malaysia dicemburi.

Bahkan negara Komanwel yang maju seperti Kanada dan Australia mencemburui Malaysia kerana mempunyai dasar belia tersendiri yang dikenali sebagai Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035. Malaysia juga antara negara pelopor kepada Diploma Kerja Belia Komanwel semenjak awal tahun 2000 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Malaysia juga diikitiraf sebagai negara yang mempunyai gerakan belia yang tersusun daripada peringkat kampung sehinggalah ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Gerakan belia di Malaysia dianggap sebagai gerakan NGO yang menjadi rakan strategik pembangunan belia negara bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Pembangunan belia dan kerja belia profesional dilihat sebagai alat diplomasi lunak untuk Malaysia meluaskan pengaruhnya di seluruh dunia khususnya negara-negara Komanwel.

Malaysia harus mengambil masa keemasan ini untuk terus memperkasa dan menginovasikan ekosistem pembangunan belianya agar lebih bersifat kontemporari dan rentas masa hadapan.

Tahun 2025, Malaysia akan diberikan penghormatan menganjurkan Commonwealth Global Youth Work Conference selepas kali terakhir dianjurkan di Reading University, United Kingdom pada tahun 2023.

Universiti Putra Malaysia dilihat telah bersedia menganjurkannya dan akan membuka gelanggang untuk menjadi tuan rumah kepada perbincangan pengamal kerja belia dan pekerja belia profesional dari seluruh dunia khususnya negara-negara Komanwel.

Antara tema-tema baru dan penting yang boleh diketengahkan dalam konferen kali ini ialah Muslim Youth Work dan Youth Work in ASEAN.

Kerja belia profesional masih asing di Malaysia namun kepentingannya semakin ketara kerana keperluan membangunkan anak muda secara profesional untuk masa depan negara.

Konferen memberi ruang untuk rakyat Malaysia mengenali lebih dekat kerja belia profesional dan belajar daripada pengalaman pelbagai negara.

Sudah tentu konferen antarabangsa sebegini bukan sahaja penting sebagai anjang pertemuan dan perkongsian tetapi diharap dapat menelurkan banyak idea-idea baharu yang inovatif untuk membangunkan anak muda generasi Z dan alpha yang mempunyai karakter yang agak unik dan mencabar untuk difahami dan disantuni.

* Jufitri Joha ialah Profesor Adjung Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!