Pinjaman peribadi jerat penjawat awam bankrap

Data daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.
Data daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.
A
A
A

KEBANKRAPAN yang melanda penjawat awam di negara ini semakin membimbangkan dengan laporan terbaru menunjukkan peningkatan ketara jumlah kes dalam kalangan golongan itu.

Menurut data terbaru daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl), kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini melibatkan kumpulan tersebut.

Statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah sebanyak 12 peratus pada 2020, 2021 (10 peratus), 2022 (11 peratus), 2023 (13 peratus) dan 14 peratus setakat ini bagi tahun ini.

Lebih membimbangkan, data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun, walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.

Kebanyakan kes melibatkan penjawat awam yang terpaksa berdepan dengan masalah kewangan serius termasuk tidak mampu membayar pinjaman peribadi dan pengurusan kewangan yang kurang berkesan.

Pakar ekonomi dan perancang kewangan menegaskan bahawa beban hutang yang tinggi, kos sara hidup yang meningkat, dan ketidakstabilan ekonomi global adalah antara punca utama yang menyumbang kepada keadaan ini.

Ramai penjawat awam dilaporkan mengalami kesulitan dalam menguruskan kewangan peribadi mereka, walaupun menikmati kestabilan pekerjaan dalam sektor awam.

Dalam usaha menangani isu ini, kerajaan atau majikan perlu mengadakan pendidikan kewangan yang lebih baik dan sokongan kaunseling untuk mereka.

Artikel Berkaitan:

Majikan boleh memperkenalkan atau melaksanakan program intervensi berkaitan pendidikan kewangan di tempat kerja dengan menjemput hos atau penasihat yang pakar dalam bidang kewangan dan sebagainya.

Selain itu, kumpulan tersebut juga wajar dilatih untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan dan langkah-langkah bagi mengelakkan kebankrapan di kalangan pekerja sektor awam.

Sementara itu, kerajaan dan agensi berkaitan juga patut memperhalusi langkah-langkah untuk membantu penjawat awam yang terjejas dan mengurangkan risiko kebankrapan di masa depan.

Diharapkan usaha-usaha ini akan membawa perubahan positif dan meningkatkan kesejahteraan kewangan di kalangan penjawat awam di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!