Jangan normalisasikan pengantunan seksual
‘ABANG bas’ yang tular di media sosial kerana merakam video kanak-kanak terutama murid perempuan, ditahan polis minggu lalu.
Polis Johor mengesahkan, pemuda berusia awal 20-an itu disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu kerana melakukan perbuatan yang membawa maksud seksual dengan cara mengikuti, memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak secara berulang kali.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyiarkan gambar kanak-kanak di media sosial.
Meskipun sebilangan orang menyifatkan ia content semata-mata, namun jangan ambil mudah isu pengantunan seksual atau sexual grooming yang semakin membarah dalam masyarakat kita.
Perbuatan tersebut bukan hanya tidak boleh diterima, malah tidak sepatutnya dinormalisasikan, tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Walaupun ramai yang mempertahankan pemuda ini, tidak kurang sebenarnya yang meluahkan kebimbangan terhadap kandungan dimuat naik dengan menyifatkan ia sebagai pengantunan seksual dan berunsur pedofilia.
Amat mengejutkan apabila akaun TikTok pemandu bas ini mempunyai lebih 600,000 pengikut selain video kanak-kanak sekolah dimuat naik meraih jutaan tontonan.
Melihat kepada kes ini, memupuk kesedaran berkaitan pemangsaan seksual perlu dilakukan dengan lebih agresif.
Agensi yang berkaitan termasuk masyarakat secara keseluruhan tidak boleh memandang ringan isu ini khususnya apabila melibatkan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.
Kita harus sedar bahawa pendedahan kanak-kanak di media sosial tanpa kawalan boleh menimbulkan risiko yang besar.
Dalam situasi seperti ini, peranan ibu bapa amat penting. Mereka harus peka dengan siapa anak-anak berinteraksi termasuk pemandu bas, guru-guru dan individu lain di sekeliling mereka.
Justeru, perkasakan lagi kempen kesedaran dalam kalangan ibu bapa supaya menekankan kepada anak masing-masing akan kepentingan menjaga batas pergaulan selain berkongsi perkara mencurigakan yang mereka alami setiap hari.
Jadikan amalan ini sebagai silibus wajib di rumah.
Jangan biarkan kesedaran itu datang sendiri apabila kes sudah berlaku, kerana ketika itu sudah terlewat dan sudah ada yang menjadi mangsa!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!