Protes global tuntut keadilan kes rogol, bunuh doktor pelatih
STOCKHOLM - Ribuan rakyat India di luar negara mengadakan demostrasi di lebih daripada 130 bandar di 25 negara bagi menuntut keadilan berhubung kes rogol dan bunuh seorang doktor pelatih di sebuah hospital di Kolkata, India bulan lalu.
Protes dilakukan dalam kumpulan kecil dan kemudian merebak luas di seluruh Jepun, Australia, Taiwan dan Singapura sebelum ke bandar-bandar di Eropah dan Amerika Syarikat.
Tindakan itu menambah jumlah protes yang sedang berlangsung di seluruh India selepas pembunuhan seorang pelajar pasca siswazah berusia 31 tahun dalam bidang perubatan pada 9 Ogos lalu.
Setakat ini, seorang suspek telah ditahan bersama dengan bekas pengetua Kolej Perubatan RG Kar, institusi mangsa sedang belajar.
"Berita mengenai jenayah kejam terhadap doktor pelatih muda semasa bertugas telah membuatkan kami terkejut sesama sendiri, dengan tahap kekejaman, kekasaran dan tidak peduli terhadap nyawa manusia," kata Dipti Jain, seorang penganjur protes global itu.
Semasa kejadian, mangsa memilih untuk tidur di atas sekeping permaidani selepas melakukan shif kerja selama 36 jam.
Menurut laporan inkues doktor yang diakses oleh Reuters, mangsa ditemui berdarah dari bahagian mata dan mulutnya selain mengalami kecederaan di kaki, perut, buku lali, tangan kanan dan jari.
Pada Ahad, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di beberapa bandar di San Francisco Bay Area yang menuntut keadilan terhadap jenayah dan keselamatan wanita.
Di Dublin, California, kira 56 kilometer dari timur San Francisco, penunjuk perasaan membentuk seperti rantai manusia dan menjerit dengan slogan yang bertulis 'Kami menuntut keadilan'.
Selain itu, orang ramai yang berbilang peringkat umur, termasuk kanak-kanak kecil dan warga emas dilihat mendeklamasikan puisi dan mengambil bahagian dalam protes tersebut.
"Walaupun kami mahukan keselamatan wanita, ia sebenarnya mengenai keselamatan semua orang di tempat kerja mereka.
"Bagaimanakah kita boleh mempunyai generasi masa depan kita yang akan pergi ke institut yang sama, berasa selamat, mendapat pendidikan yang baik dan berkhidmat kepada masyarakat?
"Itu adalah kebimbangan besar semua orang," kata Sukalpa Chowdhury, seorang doktor berusia 39 tahun yang menyertai protes di Dublin.
Di salah satu protes di ibu negara Sweden, Stockholm, sekumpulan besar wanita, yang kebanyakannya berpakaian hitam, berkumpul di dataran Sergels Torg untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Bengali.
Walaupun undang-undang lebih keras diperkenalkan selepas kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan pelajar berusia 23 tahun pada 2012 di dalam bas yang bergerak di New Delhi, aktivis berkata kes Kolkata menunjukkan bagaimana wanita masih mengalami keganasan seksual.
Dalam kes yang semakin tular itu, polis Persekutuan India sedang menyiasat jenayah rogol dan bunuh itu tetapi masih belum memfailkan sebarang tuduhan terhadap pelakunya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!