Majlis Hak Asasi Manusia PBB buka sesi ke-57 di Geneva
GENEVA - Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin membuka sesi tetap ke-57 di Geneva, yang akan berlangsung sehingga 11 Oktober, untuk menangani isu hak asasi manusia di pelbagai bahagian dunia, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam ucapannya semasa sesi itu, Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB berkata, "Kita tahu bahawa peperangan memberi kesan kepada generasi akan datang, memupuk kitaran kebencian yang berulang jika puncanya tidak ditangani. Malangnya, peperangan di Gaza adalah contoh paling jelas."
"Sejak serangan mengerikan pada 7 Oktober...lebih 40,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel, beberapa ribu lagi cedera, dan ribuan masih terperangkap di bawah runtuhan di Gaza.
"Setiap hari, rakyat Palestin bergelut untuk terus hidup. Hampir 1.9 juta orang telah dipaksa berpindah di seluruh Gaza, berkali-kali. Walaupun angka sebenar mungkin lebih tinggi, hampir 10,000 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel atau kemudahan tentera sementara, ramai secara sewenang-wenangnya, dengan lebih 50 orang mati akibat keadaan tidak berperikemanusiaan dan layanan buruk," kata Turk.
Jelasnya, di Tebing Barat, operasi maut dan merosakkan, sebahagiannya pada skala yang belum pernah disaksikan dalam dua dekad terakhir, memburukkan lagi situasi yang sudah pun calar akibat keganasan penempatan haram.
Beliau menekankan menghentikan peperangan itu dan mengelakkan konflik serantau yang lebih besar adalah keutamaan yang sangat mendesak.
"Begitu juga, keadaan lebih meluas yang melanggar undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki akibat dasar dan amalan Israel, seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam Pendapat Nasihatnya pada Julai, mesti ditangani secara menyeluruh," kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB itu. - Bernama-WAM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!