PRN Sabah: Tuntutan kerusi dalam GRS wajar dibuat secara tertutup

Masiung ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor, di Dewan Lembaga Perbandaran Kudat.
Masiung ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor, di Dewan Lembaga Perbandaran Kudat.
A
A
A

KUDAT - Agihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebaiknya dibincangkan secara dalaman menerusi semangat kekeluargaan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, sebarang tuntutan kerusi daripada parti komponen GRS wajar dibuat secara tertutup bagi mengelak rakyat terbawa-bawa dengan politik melampau.

"Bukankah kita dalam satu keluarga besar, lebih teliti jika ia dibincang di peringkat tertinggi GRS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor, di Dewan Lembaga Perbandaran Kudat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tuntutan parti dalam GRS yang mahu kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi nanti.

Perkara itu disuarakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mencadangkan supaya GRS bertanding di semua kerusi DUN di Sabah.

Susulan kenyataan itu, isu agihan kerusi menghangatkan lagi polemik politik Sabah mengenai persiapan GRS dan Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRN yang akan diadakan selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Mengulas lanjut, Masiung berkata, di peringkat dalaman Gagasan Rakyat sendiri setakat ini belum dibincangkan mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, Masiung meminta pemimpin parti dalam GRS dan PH di peringkat negeri tidak memberi kenyataan secara terbuka berhubung isu agihan kerusi kerana ia boleh mengeruhkan hubungan baik dalam gabungan.

Artikel Berkaitan:

"Biarlah kita serahkan kepada pemimpin utama GRS dan PH untuk membincangkan perkara itu, janganlah pemimpin peringkat akar umbi membuat andaian, nanti ia boleh mengundang salah faham," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!