Anatomi kebahagiaan organisasi
ADAKAH senyuman, gelak ketawa dan gurauan menunjukkan individu itu benar-benar bahagia?
Adakah bahagia seseorang diukur berdasarkan kemewahan, ringgit dan sen?
Soalan demi soalan boleh dilontarkan bagi mengungkap erti bahagia tetapi bukanlah mudah mentafsir maknanya.
Ini kerana, kebahagiaan itu tiada ukuran yang objektif dan dipersetujui secara universal.
Pun begitu daripada pengalaman, pembacaan dan kajian, penulis menyimpulkan beberapa asas atau anatomi kepada organisasi.
Pertama, komunikasi boleh dijadikan asas kepada kebahagiaan dalam organisasi.
Isu komunikasi tidak boleh dipandang remeh dan ia merupakan penyelesaian terbaik kepada banyak permasalahan yang berlaku dalam organisasi.
Komunikasi dari hati dan nurani yang bersih lebih banyak mencetuskan aura positif yang kekal berpanjangan.
Isu komunikasi dalam era kemajuan teknologi digital masa kini bukan sahaja disebabkan oleh mulut tetapi oleh jari jemari yang lincah di papan kekunci.
Mesej mudah tular dalam jangka waktu yang singkat.
Jika lisan atau tulisan itu tidak disenangi oleh individu lain, ia sukar ditarik kembali, mungkin melukakan hati dan menyinggung perasaan orang lain.
Akibat kesilapan kecil berkomunikasi, pelbagai masalah dan konflik antara individu sama ada dalam kehidupan peribadi atau kerjaya mungkin akan timbul.
Kedua, gaya kepimpinan juga adalah asas dalam mengungkap bahagia organisasi.
Bergelar seorang pengurus atau pemimpin tertinggi dalam organisasi bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika diberikan amanah dan peluang, janganlah dipersiakan.
Bagi menjadi seorang pemimpin yang disegani semua pihak, pengurus perlu menyesuaikan watak dan pembawaan diri dengan situasi atau dikenali sebagai kepimpinan kontingensi.
Ada ketika ketegasan perlu ditonjolkan, pada saat yang lain berlembutlah pula.
Pada majlis rasmi, ikutlah protokol, tetapi pada situasi yang santai, tidak salah bergaul mesra dengan pekerja bawahan. Ingatlah bahawa ular menyusur akar, takkan hilang bisanya.
Ketiga, faktor keseimbangan kerja dan keluarga boleh menjadi asas kebahagiaan organisasi.
Trend kerja terkini dan masa hadapan yang beralih kepada teknologi automasi telah menyebabkan masa bekerja semakin panjang.
Pekerja kini boleh menyambung kerja di rumah bagi mana-mana tugas yang tidak tuntas di pejabat.
Majikan boleh menghubungi pekerja dan memberi arahan selepas waktu pejabat atau sewaktu pekerja bercuti. Hal ini adalah suatu kebiasaan di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Pada hemat penulis, para pekerja harus mengoptimumkan masa lapan jam di pejabat bagi melangsaikan semua tugas hakiki dan amanah yang diberikan oleh organisasi; sebaliknya bila berada di rumah, berilah perhatian dan belaian kepada keluarga tersayang.
Keempat, asas kebahagiaan organisasi turut bergantung kepada pengiktirafan bakat pekerja.
Sama ada bakat ini wujud secara semula jadi atau dibangunkan bersama organisasi, ia wajar mendapat pengiktirafan dan diraikan oleh organisasi.
Sikap tidak endah organisasi tentang kewujudan pekerja berbakat ini menyebabkan mereka berhijrah ke organisasi lain bagi mencapai matlamat kerjaya.
Isu ini turut membawa kepada kehilangan modal insan yang membelenggu dan menggugat produktiviti.
Kelima, ketelusan penilaian prestasi juga boleh menjadi asas bahagianya warga organisasi.
Kajian menunjukkan bahawa penilaian prestasi yang baik seharusnya mampu membezakan prestasi pekerja cemerlang dengan yang lemah.
Mengubahsuai atau menghapuskan kriteria penilaian bersifat subjektif merupakan antara langkah yang boleh diambil untuk menangani tanggapan negatif terhadap penilaian prestasi.
Hal yang paling ditakuti kesan daripada penilaian prestasi adalah peningkatan kadar niat untuk berhenti, stres, ketidakpuasan kerja, atau penurunan komitmen dalam kalangan pekerja.
* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!