Ibu tunggal, teman lelaki dera anak dipenjara dua tahun

Wanita dan teman lelakinya didakwa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada Selasa.
Wanita dan teman lelakinya didakwa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ibu tunggal dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera anak kandung perempuan berusia lima tahun sejak Ogos lalu.

Selain itu, tertuduh, Nor Arzilla Ardi, 32, dan Mohamad Amir Rosdi, 26, turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun selepas hukuman berjalan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua pasangan itu didakwa melakukan perbuatan itu antara 13 Ogos hingga 4 September lalu di Nombor 18-1, Jalan Desiran Malawati, di sini.

Kedua-dua pasangan itu telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut dengan cara memujuk, mencubit, memijak dan menyiram air panas pada tubuh badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada kanak-kanak tersebut.

Kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibawa bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Sebagai tambahan hukuman jika disabitkan hendaklah menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dengan apa-apa syarat yang difikirkan perlu oleh mahkamah serta melakukan khidmat masyarakat.

Jika gagal mematuhi mana-mana syarat bon, hukuman boleh didenda sehingga tidak melebihi RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Nor Suhaili memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh yang sepatutnya melindungi anak dan memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama

"Saya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh pertama (Nor Arzillah) kerana mengambil kira mangsa baru berusia lima tahun yang sepatutnya dilindungi oleh ibunya sendiri.

"Mangsa merupakan anak kandung dan sepatutnya tertuduh menjaga amanah ini dengan baik dan tidak membiarkan tertuduh dan teman lelaki melakukan penginayaan tersebut selain mengambil kira kesan trauma dan masa depan kepada kanak-kanak berkenaan," ujar beliau.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memohon hukuman dikurangkan kerana masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, ibu kandung dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai mendera anak wanita berkenaan.

Kanak-kanak itu didera dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kepada neneknya yang kemudian memaklumkan kepada bapa kandung berusia 28 tahun.

Bapa kandung mangsa kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa di rumahnya di sekitar Kuala Selangor pada 4 September lalu.

Teman lelaki wanita itu kemudiannya ditahan pada keesokannya di sebuah rumah di Sik, Kedah, kira-kira jam 4.30 petang.

Hasil semakan polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah berkaitan narkotik.

Mangsa di bawah jagaan wanita terbabit dan telah berpisah dengan bapa kandung kanak-kanak itu pada tahun 2020.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!