'Abang bas’ didakwa lakukan amang seksual, menangis di kandang tertuduh

Tertuduh dibawa keluar dengan diringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Muar, pada Selasa.
Tertuduh dibawa keluar dengan diringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Muar, pada Selasa.
A
A
A

MUAR - Pemandu bas yang sebelum ini ditahan selepas memuat naik rakaman video penumpang murid sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau 'crush' didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Muar pada Selasa.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 24 tahun itu dilihat menangis di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual antara antara jam 5 hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara jam 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Sebelum itu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Hujahnya, ini kerana kes berkenaan adalah serius dan mendapat perhatian umum serta pelbagai komen diterima yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Tambahnya, memandangkan salah seorang mangsa juga adalah anak saudaranya, pihaknya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Sejurus mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sebelum itu, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau 'crush' dan 'kesayangan'.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!