Program Jualan Rahmah Madani bantu jimat perbelanjaan

Suasana Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) peringkat Kuala Lumpur anjuran KPDN KL yang diadakan di Flat Sri Penara, Cheras pada Khamis.
Suasana Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) peringkat Kuala Lumpur anjuran KPDN KL yang diadakan di Flat Sri Penara, Cheras pada Khamis.
A
A
A
KUALA LUMPUR- Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak tahun 2023 mencerminkan keprihatinan serta usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.

Malah program di bawah inisiatif Payung Rahmah Madani itu sentiasa dinantikan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang jauh lebih rendah berbanding di pasaran.

Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, PJRM menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi setiap barangan yang dijual, sama ada menerusi jualan di premis, luar premis (premium) atau bergerak.

“PJRM dilaksanakan bertujuan memberi penjimatan kepada rakyat dengan fokus untuk membantu meringankan beban kos sara hidup. Program ini dilaksanakan dengan pelbagai kaedah, ada yang berskala kecil iaitu menggunakan lori lima tan dan bergerak ke lokaliti yang telah dikenal pasti.

“Namun di bandaraya Kuala Lumpur, kita rasa kaedah itu tidak sesuai. Oleh sebab itu, ia dibuat berskala premium dengan menggunakan sekurangkurangnya lima buah khemah yang diletakkan di kawasan tertentu,” katanya ketika ditemui di Flat Sri Penara, Cheras, sempena PJRM peringkat Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, barangan yang dijual pada setiap PJRM adalah mengikut permintaan dan cadangan daripada wakil penduduk dan penyelaras Parlimen terlibat.

Malah menurutnya, KPDN Kuala Lumpur akan meneliti jenis barangan yang akan dibawa dan dijual mengikut keperluan iaitu 10 hingga 13 jenis barang keperluan.

“Sebelum mengadakan PJRM di kawasan dikenal pasti, kita akan mendapatkan pandangan dan cadangan daripada penyelaras kawasan Parlimen supaya barang yang akan dijual mengikut kehendak penduduk setempat.

“Keperluan asas seperti beras, minyak dan telur wajib dijual, selebihnya berdasarkan kepada permintaan supaya semua orang dapat manfaat daripada program ini,” ujarnya.
Artikel Berkaitan:


Kuala Lumpur lokasi aktif

Mohd Sobri beramah mesra dengan pengunjung PJRM peringkat Kuala Lumpur anjuran KPDN KL yang diadakan di Flat Sri Penara, Cheras pada Khamis.
Mohd Sobri beramah mesra dengan pengunjung PJRM peringkat Kuala Lumpur anjuran KPDN KL yang diadakan di Flat Sri Penara, Cheras pada Khamis.



PJRM Sehingga 5 September lalu, KPDN Kuala Lumpur telah melaksanakan sebanyak 358 PJRM di seluruh bandaraya berkenaan.

Mohd Sabri berkata, jumlah itu akan terus meningkat dan dianggarkan sebanyak 200 program lagi bakal dijalankan sehingga akhir tahun ini.

“Kuala Lumpur merupakan kawasan yang paling aktif PJRM berbanding negeri-negeri lain dan kami berharap dapat melaksanakan kira-kira 200 program lagi sehingga Disember nanti.

“Selain itu saya juga berharap program jualan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penambahbaikan lebih sesuai, tertakluk kepada permintaan rakyat serta kemampuan kerajaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai proses pembelian dan jualan PJRM, beliau menjelaskan, mekanisma yang digunapakai setakat ini adalah yang terbaik kerana subsidi dapat disalurkan kepada golongan sasar, sekali gus dimanfaatkan golongan B40.

Dalam masa sama katanya, program berkenaan tidak akan mengganggu perniagaan sedia ada di kawasan sekitar.

“Kita tidak menyediakan banyak jenis barang sebab PJRM bukan pasar raya. Kita hanya menawarkan barang keperluan tertentu sahaja.

“Oleh itu, kita sangat terbuka dengan sebarang cadangan untuk memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani ini agar sesuai untuk rakyat dan pelaksanaannya,” jelasnya.

Permintaan meningkat, jadikan program bulanan

Mohd Sobri beramah mesra dengan pengunjung PJRM peringkat Kuala Lumpur anjuran KPDN KL yang diadakan di Flat Sri Penara, Cheras pada Khamis.
Mohd Sobri beramah mesra dengan pengunjung PJRM peringkat Kuala Lumpur anjuran KPDN KL yang diadakan di Flat Sri Penara, Cheras pada Khamis.



Mengakui ramai penduduk setempat yang mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan itu, Setiausaha Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Bandar Tun Razak (Sub Zon II), Syarifah Aini Zahrah berkata, pihaknya berharap KPDN Kuala Lumpur dapat mempertimbangkan kekerapan PJRM di lokaliti itu.

Menurutnya, ramai penduduk yang menyuarakan harapan agar program berkenaan dilaksanakan sekurangkurangnya dua kali dalam tempoh sebulan bagi membantu kos sara hidup rakyat.

“Kami disaran untuk sampaikan kepada Pengarah (KPDN Kuala Lumpur) supaya adakan program PJRM lebih kerap, itu yang dimohon penduduk.

“Sekurang-kurangnya, penduduk dapat menarik nafas lega kerana barang keperluan harian tidak terputus dengan cepat,” ujarnya.

Sebagai rekod sehingga 31 Julai tahun ini, PJRM telah dilaksanakan di 5,680 lokasi seluruh negara dengan kaedah dalam premis sebanyak 2,248, luar premis 400 dan bergerak 3,032.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilapor memaklumkan, program berkenaan telah diperluaskan ke 222 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Sehingga kini, seramai lebih lima juta pengunjung direkodkan sepanjang program tersebut dilaksanakan dan jumlah itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

REAKSI

MAIZATUL DURA
MAIZATUL DURA



“Saya harap program seperti ini dapat dilaksanakan lebih kerap supaya golongan B40 dapat manfaat sebaiknya.”- Maizatul Dura Azmi, 44 Surirumah

SIEW FONG
SIEW FONG



“Saya cadangkan supaya pelbagaikan jenis barangan yang dijual seperti keperluan harian lain dan tidak hanya tertumpu kepada makanan.”- Hee Siew Fong, 66 Penduduk

MUHAMMAD AKRAM
MUHAMMAD AKRAM



“Saya antara rakyat yang mendapat manfaat daripada PJRM dan penjimatan sehingga RM6 bagi setiap jenis barangan boleh digunakan untuk membeli keperluan lain.”- Muhammad Akram Mohd Razali, 45 Pekerja swasta

MUHAMMAD FITRI
MUHAMMAD FITRI



“Sebagai penyelaras Parlimen, saya akan pastikan kawasan yang dipilih bersesuaian dengan jumlah lokaliti supaya lebih ramai yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini.”- Muhammad Fitri Ramli Penyelaras Parlimen Bandar Tun Razak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!