DBKL tutup sebahagian Jalan Masjid India
KUALA LUMPUR - Sebahagian Jalan Masjid India sepanjang 160 meter dari Wisma Yakin sehingga Bit Polis Jalan Masjid India ditutup bagi memberi laluan kerja-kerja pemeriksaan utiliti dan struktur tanah.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengadakan dua sesi libat urus bersama pemegang taruh.
Ujarnya, sesi libat urus tersebut bagi memaklumkan status terkini mengenai insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India termasuk status kemajuan kerja-kerja di tapak.
Jelasnya, DBKL juga telah membentangkan pelan tapak termasuk cadangan pemasangan hoarding dan ia telah bermula sejak 6 September dan dijangka selesai pada 9 September 2024.
“Kerja-kerja pembaikan manhole (lurang kumbahan) sedang dijalankan di lokasi insiden.
"Untuk manhole berdekatan Bit Polis Jalan Masjid India, pihak IWK (Indah Water Konsortium) telah membaiki paip kumbahan dan kerja-kerja pemeriksaan tanah akan bermula hari ini sebelum kerja kemasan akhir dibuat,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Terdahulu, seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India dilaporkan terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
DBKL mengulas lanjut berkata, pada sesi itu juga, DBKL turut mencadangkan pelan susun atur baru tapak pengoperasian Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman termasuk cadangan pemindahan penjaja terlibat ekoran kerja-kerja pembaikan tanah mendap yang dijalankan.
Selain itu, ujarnya, wakil pengurusan Masjid India turut memohon agar diberi ruang saf tambahan di luar masjid bagi solat Jumaat kerana ruangan sedia ada di dalam masjid sesak.
“Peniaga sekitar Jalan Masjid India turut memohon kerjasama DBKL untuk membuat hebahan secara berterusan bagi menarik orang ramai berkunjung ke kawasan itu.
“DBKL dan semua agensi berganding bahu menjalankan kerja-kerja membaik pulih kawasan sekitar Masjid India termasuk kerja recovery (pemulihan) dan reconstruction (pembinaan semula) bagi memastikan kawasan Jalan Masjid India kekal selamat untuk dikunjungi,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!