23 kes pokok tumbang di Kelantan sejak Khamis
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan 23 kes pokok tumbang dalam tempoh lima hari sejak Khamis lepas, namun kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, daripada jumlah itu, 10 kes berlaku pada Ahad membabitkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
"Empat kes berlaku pada Khamis iaitu di Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu; tiga kes di Kemahang, Machang dan Pasir Mas pada Jumaat manakala tiga kes pada Sabtu di Pasir Mas, Wakaf Bharu (Tumpat) dan Kuala Krai.
"Tiga kes turut direkodkan di Pengkalan Kubor (Tumpat), Tok Bali dan Kota Bharu semalam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan Pemantapan Kawad Kecekapan Pasukan Emergency Response Team di Padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Kelantan, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.
Zainal berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan secara berkala bagi mengenal pasti pokok berisiko tumbang mahupun mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat khususnya pengguna jalan raya.
"Kita akan mengingatkan tuan rumah sekiranya didapati ada pokok berisiko tumbang sebagai contoh, pokok kelapa yang sudah condong... kita akan menasihatkan supaya mengosongkan rumah setiap kali berlaku angin kuat,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, beliau berkata, tumpuan diberikan bukan sahaja dari segi keanggotaan serta logistik, tetapi juga pendedahan kepada masyarakat berkaitan keselamatan di air sebagai persiapan berdepan dengan banjir.
"Dari segi latihan, anggota serta logistik telah bersedia, namun sekiranya kita berdepan dengan keanggotaan serta logistik tidak mencukupi, bantuan dari negeri lain akan dimohon. Setakat ini semuanya mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Media semalam melaporkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenal pasti lebih 6,000 kawasan berisiko dilanda bencana termasuk banjir, tanah runtuh dan kepala air di seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!