Peneroka pertama Felda meninggal dunia
BENTONG - Salah seorang individu yang menjadi peneroka pertama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan( Felda), Kamaruddin Mat Doa, 85, meninggal dunia pada Isnin akibat keuzuran.
Bapa kepada empat anak yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu melaporkan diri di Felda Lurah Bilut dekat sini pada 29 September 1959.
Menurut anak sulung, Azizah Kamaruddin, 63, bapanya terlantar sejak sembilan tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.40 petang di rumah mereka di tanah rancangan tersebut.
“Ibu kami, Halijah Montak telah pun meninggal dunia pada 2017 dan arwah ayah sebenarnya akan menyambut usia genap 85 tahun pada 29 September ini.
"Walaupun sedih tapi kami semua reda dengan kehilangan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Felda dalam satu kenyataan memaklumkan, jasa dan sumbangan Allahyarham Kamaruddin membangunkan tanah rancangan akan terus dikenang seluruh warga Felda.
Menurut agensi yang mempunyai seramai 112,635 peneroka di 321 tanah rancangan seluruh negara, Allahyarham Kamaruddin merupakan ikon keberanian dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada generasi peneroka baharu.
“Pemergian beliau mencatatkan sejarah penting kerana beliau adalah antara perintis yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi menjayakan usaha kerajaan membangunkan tanah rancangan Felda yang ketika itu masih belum diteroka.
“Sebelum berpindah ke Lurah Bilut, Haji Kamaruddin menerima arahan untuk membawa barang-barang keperluan asas seperti pinggan mangkuk, perkakas dapur serta peralatan membina rumah seperti cangkul dan kapak.
“Beliau juga dilarang membawa ahli keluarganya pada mulanya, kerana peneroka perlu mendirikan kawasan dan tempat tinggal terlebih dahulu.
“Segala pergerakan dari Teluk Intan ke Lurah Bilut diuruskan oleh Pejabat Daerah Teluk Intan yang pada ketika itu dikenali sebagai Telok Anson,” kata Felda.
Menurut kenyataan itu lagi, Allahyarham Kamaruddin adalah contoh peneroka yang berani menghadapi cabaran apabila tekad meninggalkan kampung halaman termasuk ibu bapa untuk menempuh kehidupan baharu di kawasan hutan belantara.
“Dengan semangat yang kuat, beliau bekerja keras membuka kawasan hutan, menebang pokok, menebas belukar dan menanam benih kelapa sawit dan getah, selain membina kediamannya sendiri.
“Usaha beliau tidak sia-sia, kerana beliau akhirnya menjadi seorang peneroka yang berjaya dan pernah dilantik sebagai ketua peneroka di Lurah Bilut,” tambah Felda.
Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut sekarang, Muhamad Asri Lazim menyifatkan pemergian Allahyarham Kamaruddin satu kehilangan besar buat rancangan itu.
Lurah Bilut merupakan rancangan Felda yang pertama dibuka di negara ini selepas cadangan pembangunan dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri pada 16 Ogos 1957 dan diluluskan pada 1 April 1958.
MB Pahang ucap takziah
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan takziah buat keluarga peneroka pertama Felda, Allahyarham Kamaruddin Mat Doa, 85, dari Felda Lurah Bilut, Bentong yang meninggal dunia pada Isnin.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham dan rakan-rakan segenerasinya membawa bersama segala kenangan pahit manis dan jerih payah.
Menurutnya, ia satu usaha dan azam besar untuk merubah nasib masyarakat Malaysia suatu masa dahulu yang sinonim dengan kemiskinan dan kesusahan hidup.
"Lurah Bilut ialah sebuah kawasan penempatan Felda yang terletak di Bentong, Pahang.
"Ia mula dibuka pada tahun 1958 dan merupakan rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama ditubuhkan seumpamanya di Malaysia dan dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, negeri Pahang dan rakyatnya berbangga kerana menjadi sebahagian besar kepada sejarah penubuhan Felda yang diilhamkan oleh anak Pahang, dimulakan di negeri ini dan memiliki jumlah tanah rancangan terbanyak di Malaysia.
"Pahang menjadi saksi penting kepada satu program sosio-ekonomi paling berjaya di dunia.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," jelasnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!