Perkasa pendidikan pelajar Orang Asli

Fadhlina bergambar bersama sebahagian kumpulan penari yang mempersembahkan tarian pada Majlis Pelancaran RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM di SMK RPS Betau di sini pada Ahad. Gambar kecil: Rahmat, Yazid Kembok, Norhaniza
Fadhlina bergambar bersama sebahagian kumpulan penari yang mempersembahkan tarian pada Majlis Pelancaran RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM di SMK RPS Betau di sini pada Ahad. Gambar kecil: Rahmat, Yazid Kembok, Norhaniza
A
A
A

LIPIS - Rancangan Petempatan Semula (RPS) Betau di sini dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengangkat agenda memperkasakan pendidikan pelajar masyarakat Orang Asli.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program itu juga sebagai akses kepada pendidikan lebih baik dan mengatasi isu keciciran pelajar kaum itu dalam arus pendidikan negara ini.

Menurutnya, pemilihan kampung itu turut mengambil kira keistimewaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau sebagai projek rintis Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).

“Sekolah terbabit antara dua sekolah K11 di negara ini dengan menempatkan murid dan pelajar Orang Asli daripada pra-sekolah sehingga Tingkatan Lima daripada 18 buah kampung sekitar.

Fadhlina menguji kemampuan membaca murid pra sekolah yang ditemui di SMK RPS Betau pada Ahad.
Fadhlina menguji kemampuan membaca murid pra sekolah yang ditemui di SMK RPS Betau pada Ahad.

“Mesej kita dalam konteks KPM, kampung angkat ini satu akses pendidikan untuk anak-anak Orang Asli bagi memastikan kemenjadian mereka tidak terputus atau terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM di SMK RPS Betau di sini pada Ahad.

Fadhlina berkata, membawa sekolah ini dari K9 yang hanya menempatkan pelajar Tahun 1 sehingga Tingkatan Tiga sebelum ini kepada K11 antara usaha dilaksanakan dalam agenda mengangkat pendidikan dan akses pendidikan Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, dalam melaksanakan agenda memperkasakan pendidikan anak Orang Asli, pihaknya memerlukan sokongan dan kerjasama komuniti untuk turut sama berperanan termasuk memastikan anak-anak ke sekolah.

Fadhlina mengikuti aktiviti yang disediakan pada majlis pelancaran RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM.
Fadhlina mengikuti aktiviti yang disediakan pada majlis pelancaran RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM.

“Usaha ini bukan usaha KPM sahaja sebaliknya mesti didukung bersama komuniti itu sendiri.

“Ia sekali gus membuktikan masyarakat dan pelajar kaum itu tidak dipinggirkan, malah sentiasa diberikan perhatian sewajarnya,” jelasnya.

Sementara itu katanya, SMK RPS Betau yang dipilih sebagai sekolah K11 pada Mac tahun lalu juga diangkat sebagai Sekolah Angkat KPM.

“Inisiatif ini akan dijadikan sebagai penanda aras untuk melihat keberkesanannya sebelum dibawa ke sekolah lain berdasarkan keperluan.

“Pastinya sekolah ini juga akan mendapat manfaat termasuk diberikan keutamaan dalam aspek digital.

“Pelajar di sini juga akan dibekalkan tablet oleh Yayasan Didik Negara untuk proses pembelajaran supaya anak kawasan pedalaman ini tidak terpinggir dalam teknologi pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu, pemilihan RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM sesuatu yang membanggakan bukan hanya bagi penduduk di situ malah kepada masyarakat kampung sekitar.

Tok Batin Kampung Kabang Baru, Rahmat Bah Nap, 52, menyifatkan penduduk Orang Asli di situ dan kawasan sekitarnya bertuah kerana mendapat perhatian KPM.

“Walaupun berada di kawasan pedalaman, penduduk di sini tidak pernah dipinggirkan sebaliknya pelbagai kemudahan telah disediakan terutama melibatkan kepentingan pelajar anak-anak Orang Asli di kawasan ini.

Fadhlina beramah mesra sambil menyelami permasalahan dihadapi pelajar SMK RPS Betau.
Fadhlina beramah mesra sambil menyelami permasalahan dihadapi pelajar SMK RPS Betau.

“Saya menyambut baik dan mengalu-alukan pemilihan RPS Betau dan SMK Betau sebagai anak angkat kementerian dan sudah pasti banyak manfaat bakal dikecapi masyarakat di termasuk dalam aspek pembangunan dan kemudahan sekolah pada masa akan datang,” katanya.

Pendapat sama dilontarkan seorang penduduk, Yazid Kembok, 70, yang melihat inisiatif disediakan KPM itu seiring dengan harapan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan terbaik walaupun berada di luar bandar.

“Saya mewakili penduduk di sini berterima kasih kepada kerajaan khususnya KPM kerana sentiasa menambah baik kualiti pendidikan di sekolah ini selain kemudahan dan infrastruktur,” katanya.

Antara yang tersenyum senang dengan inisiatif kampung angkat KPM itu sudah pasti guru-guru SMK RPS Betau itu sendiri.

Wakil guru, Norhaniza Jamaludin, 34, berkata, inisiatif itu secara tidak langsung dekatkan hubungan antara SMK Betau dan kementerian terutama menterinya sendiri.

“Sudah pasti ia akan bangkitkan semangat para guru dan warga sekolah untuk bersama-sama berusaha meningkatkan prestasi pelajar dan sekolah ini.

“Pada masa sama, ia juga bantu penyaluran maklumat atau permasalahan yang timbul kepada KPM atau jabatan pendidikan negeri untuk perhatian serta tindakan segera demi kepentingan pelajar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!