Helah jadikan bengkel kereta sebagai stor simpan petrol terbongkar

Bengkel mengecat dan kenderaan yang disyaki digunakan sebagai stor simpanan minyak petrol. Foto: KPDN
Bengkel mengecat dan kenderaan yang disyaki digunakan sebagai stor simpanan minyak petrol. Foto: KPDN
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakan menjadikan sebuah bengkel mengecat kenderaan sebagai stor penyimpanan minyak petrol di Jalan Baru Sintok pada Isnin.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, lelaki berusia 40 tahun yang disyaki pemilik bengkel terbabit ditahan bersama sebuah kereta, enam unit tong drum, peralatan memindah barang kawalan dan 1,200 liter minyak petrol dalam satu serbuan dijalankan pihaknya.

Menurutnya, minyak petrol yang ditemui berjumlah RM2,460 disita bersama barangan lain dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM7,860.

"Anggota penguat kuasa telah membuat risikan selama tiga minggu ke atas bengkel terbabit.

"Semasa serbuan dilakukan sekitar jam 10 pagi mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an berada di premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan untuk diambil keterangan dan dilepaskan selepas selesai siasatan.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut semasa serbuan menemui minyak petrol di dalam stor dan kenderaan terbabit yang disimpan tanpa lesen atau permit sah.

Dalam pada itu, Muhammad Nizam berkata, modus operandi yang dilaksanakan ialah melalui pembelian minyak petrol di stesen minyak yang diisi ke dalam tong seterusnya dibawa ke bengkel.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama tidak menolak kemungkinan kenderaan dipandu warga asing akan memasuki kawasan terbabit bagi mendapatkan bekalan minyak petrol.

Kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan hukuman bagi kesalahan ini adalah mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

"KPDN ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas selain mengalu-alukan aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

"Sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui pelbagai saluran antara melalui portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my dan 1-800-886-800," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!