Proper A bantu lebih 60 peratus asnaf keluar garis kemiskinan

Rohizan (dua dari kanan) melihat demonstrasi guntingan rambut sempena Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan kepada Peserta Proper A Bagi Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Wanita 2024 pada Isnin. Foto MAIPk
Rohizan (dua dari kanan) melihat demonstrasi guntingan rambut sempena Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan kepada Peserta Proper A Bagi Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Wanita 2024 pada Isnin. Foto MAIPk
A
A
A

IPOH - Sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) untuk golongan asnaf.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, peruntukan itu melibatkan 2,000 peserta dengan hampir 50 latihan bidang keusahawanan sejak mula diperkenalkan pada 2016.

Menurutnya, pelaksanaan program itu banyak membantu meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi asnaf apabila lebih 60 peratus keseluruhan peserta berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Melalui program ini juga kita dapati, hampir 300 peserta yang dahulunya tersenarai sebagai asnaf telah mampu menjadi pembayar zakat.

"Walaupun jumlah ini tidaklah tinggi, sekurang-kurangnya dengan pendapatan yang diperolehi secara bulanan melalui perniagaan dijalankan, mereka mampu membayar zakat pula," katanya.

Seramai 30 peserta Proper A bagi kursus gunting rambut lelaki dan wanita menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM5,000. Foto MAIPk
Seramai 30 peserta Proper A bagi kursus gunting rambut lelaki dan wanita menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM5,000. Foto MAIPk

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan kepada Peserta Proper A Bagi Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Wanita 2024 di sini pada Isnin.

Pada program itu, seramai 30 peserta menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM5,000 di bawah seliaan D Alam Academy di bawah bimbingan Pengurusnya, Rosdziah Mohd Zainudin.

Artikel Berkaitan:

Selain kursus gunting rambut lelaki dan wanita, tiga kursus lain turut diadakan tahun ini ialah urutan dan refleksologi, kulinari dan pastri serta penternakan lebah kelulut dengan jumlah penyertaan seramai 105 orang.

Mengulas lanjut, Rohizan berkata, Proper A dirangka khusus membantu kalangan asnaf mengembangkan potensi dalam dunia perniagaan mengikut kemahiran diri dan minat.

Katanya, dalam hal itu, peserta bukan sahaja diberikan kursus dan latihan sehingga mahir, malah diberi peluang melengkapkan diri dengan pengurusan perniagaan termasuk aspek pemasaran dan pengendalian kewangan.

"Kita juga menekankan elemen digital dalam penyediaan latihan peserta supaya mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi maklumat semasa.

"Kita beri pendedahan kelebihan yang ada pada media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mereka gunakan bagi tujuan pasaran produk dan perkhidmatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!