[VIDEO] Teresa nafi persoal sijil halal


Demikian kata, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas hadir ke Bukit Aman, pada Selasa untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal, lapor wartawan Sinar Harian Ahmad Ismadi Ismail.

Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/684858/berita/semasa/teresa-nafi-persoal-sijil-halal

Muzik: Elevate dari www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa #TeresaKok #sijilhalal #Jakim #PDRM" />
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya tidak mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau tidak menghormati agama Islam."

Demikian kata, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas hadir ke Bukit Aman, pada Selasa untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal.

Teresa dalam sidang akhbar selepas dirakam keterangan di Bukit Aman pada Selasa.
Teresa dalam sidang akhbar selepas dirakam keterangan di Bukit Aman pada Selasa.

Teresa berkata, beliau turut memaklumkan kepada pelabur asing berkaitan pensijilan halal di Malaysia adalah standard paling tinggi di dunia.

"Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak 2008 ketika saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor," katanya.

Teresa berkata, kenyataan asalnya adalah maklum balas terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkaitan satu peraturan mandatori dari segi peraturan yang sedang dikaji oleh JAKIM.

"Saya memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis dan berharap isu ini akan reda serta keadaan tenang," katanya.

Teresa tiba di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu jam 9.42 pagi dan masuk ke Bukit Aman bersama peguam, Syahredzan Johan dan Ramkarpal Singh pada jam 9.45 pagi.

Artikel Berkaitan:

Teresa dilihat keluar dari Bukit Aman pada jam 11.55 pagi, sebelum mengadakan sidang akhbar di kawasan parkir di hadapan Bukit Aman.

Sementara itu, Syahredza berkata, siasatan itu adalah susulan laporan polis berkait kenyataan Teresa berhubung isu berkenaan.

"Sebanyak 20 soalan telah ditanya kepada Teresa, beliau dirakam keterangan selama sejam setengah," ujarnya.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Teresa hadir untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jakim yang akan ditentukan kemudian.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin berkata, prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (agama, raja, kaum) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.

Tambahnya, laporan yang diterima polis ini berikutan rasa ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Kata Razarudin, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

PDRM menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan persijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!