KDN rampas lebih 20,000 naskhah, bahan al-Quran tanpa perakuan

Nik Yusaimi (kanan) menunjukkan al-Quran yang dirampas kerana tiada perakuan KDN.
Nik Yusaimi (kanan) menunjukkan al-Quran yang dirampas kerana tiada perakuan KDN.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 24,805 naskhah dan bahan al-Quran tanpa perakuan membabitkan nilai lebih RM3.4 juta dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata, tindakan dilaksanakan pihaknya melalui 219 siri rampasan bermula Januari hingga bulan lalu.

Menurut beliau, kesalahan menyalahi Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 pindaan 2023 itu melibatkan aktiviti penjualan dan pengedaran al-Quran keluaran dalam dan luar negara terutama Indonesia yang dijual di premis-premis di negara ini serta platform e-dagang.

Nik Yusaimi (dua dari kiri) menunjukkan penggunaan tulisan rumi pada ayat al-Quran.
Nik Yusaimi (dua dari kiri) menunjukkan penggunaan tulisan rumi pada ayat al-Quran.

“KDN tegas dalam memelihara kemuliaan al-Quran dan memastikan naskah al-Quran yang dijual mempunyai perakuan daripada KDN bagi menjamin ketepatan melalui semakan oleh Lajnah Tasheh al-Quran KDN.

“Hingga Ogos tahun ini, 24,805 naskah dan bahan al-Quran dirampas di seluruh negara termasuk 1,300 yang bernilai RM26,000 di Kelantan melalui 15 siri rampasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Hifz al-Quran: Wakaf Ibtida’ dan Program Wacana Hadith 2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan cop kelulusan KDN pada al-Quran yang diperakui.
Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan cop kelulusan KDN pada al-Quran yang diperakui.

Nik Yusaimi mengulas, kawalan terhadap kandungan al-Quran sangat penting bagi mengelakkan kesalahan maksud sebenar ayat al-Quran selain tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memasukkan agenda tertentu sehingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Katanya, kesalahan lazim yang ditemukan pada al-Quran dan bahan tanpa perakuan itu ialah kesilapan pada ayat, tanda bacaan dan huruf yang boleh membawa maksud mengelirukan.

“Hanya Rasm Uthmani (tulisan mashaf-mashaf al-Quran yang digunakan dan dipersetujui oleh Sayyidina Uthman r.a untuk menulis kalimah-kalimah al-Quran dan huruf-hurufnya) sahaja dibenarkan penggunaannya dalam penulisan al-Quran di Malaysia.

“Penggunaan tulisan Rumi dalam penulisan ayat al-Quran tidak dibenarkan selaras dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang memutuskan bahawa haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran,” katanya.

Kesilapan turut ditemukan pada ayat al-Quran di hiasan khat.
Kesilapan turut ditemukan pada ayat al-Quran di hiasan khat.

Beliau memaklumkan, sebanyak 985 jenis cetakan al-Quran diperakui oleh KDN di negara ini dan naskah yang diperakui perlu mempunyai cop kelulusan KDN serta hologram oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPQ).

Dalam pada itu, bagi menyokong misi ke arah sifar al-Quran tiada perakuan KDN, pihaknya melancarkan Program Jom Exchange al-Quran yang di gerakkan di seluruh negara.

“Setakat Januari tahun ini hingga bulan lalu, sebanyak 400 naskah al-Quran ditukar di negeri Kelantan dan sebanyak 24,398 naskah al-Quran ditukarkan di seluruh negara.

“Jumlah itu termasuklah bagi al-Quran yang diganti kerana rosak dan tiada perakuan KDN,” kata Nik Yusaimi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!