Tiga kartel kontraktor tipu bida RM45 juta bakal dikenakan penalti kewangan

Tiga syarikat bakal dikenakan penalti kewangan oleh MyCC kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida kerja penyelenggaraan PPj. - Gambar hiasan
Tiga syarikat bakal dikenakan penalti kewangan oleh MyCC kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida kerja penyelenggaraan PPj. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga syarikat bakal dikenakan penalti kewangan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida yang melibatkan enam tender kerja penyelenggaraan Perbadanan Putrajaya (PPJ) bernilai RM45 juta.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, ketiga-tiga syarikat terbabit telah melakukan pelanggaran di bawah seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) yang melibatkan dua tender pada 2018, tiga tender pada 2019 dan satu tender pada 2021.

Menurutnya, mereka diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis selepas menerima keputusan cadangan oleh MyCC.

“Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, kontraktor-kontraktor yang dinamakan dalam keputusan cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan oleh MyCC.

“Perusahaan sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada kami pada tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tiga perusahaan yang terlibat adalah Abadi Malaysia Sdn Bhd, Kota Lanskap Sdn Bhd dan Usia Maintenance Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Mohd Hishamudin berkata, MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh ketiga-tiga syarikat tersebut bersama bukti yang diperoleh semasa proses penyiasatan.

Tambah beliau, dapatan awal mendapati kesemua kontraktor terlibat telah melakukan aktiviti penipuan melalui perjanjian dan amalan bersepadu untuk menetapkan harga, berkongsi maklumat serta menyelaraskan penyediaan selain penyerahan bidaan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kami ingin menekankan bahawa keputusan cadangan yang dibawa oleh MyCC adalah dapatan awal dan ia tidak boleh diandaikan lagi ketiga-tiga perusahaan yang dinyatakan telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.

“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan skhir selepas mempertimbangkan representasi mereka bersama bukti yang diperoleh sewaktu penyiasatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!