Peserta RXZ Members dijemput hadir imarahkan Masjid Al-Abrar
KUALA NERUS - Peserta RXZ Members 6.0 yang ingin berehat serta membersihkan diri selepas menempuh perjalanan jauh dijemput untuk singgah ke Masjid Al-Abrar, Bukit Tok Beng, dekat sini kerana ia dibuka sepanjang masa kepada orang ramai.
Pengerusi Masjid Al-Abrar, Profesor Madya Dr Mohd Shafiee Hamzah berkata, pihaknya turut menyediakan makanan tengah hari secara percuma kepada orang ramai selepas solat Zuhur secara berjemaah pada Sabtu ini.
Menurutnya, usaha itu bertujuan menarik minat anak muda menghadirkan diri beramai-ramai ke rumah ALLAH selain mengimarahkan pelbagai aktiviti diadakan di masjid.
"Kami dari pihak jawatankuasa masjid sangat mengalu-alukan kehadiran semua peserta RXZ Members dari seluruh negara untuk ziarah dan mengimarahkan masjid di sini.
"Pelbagai kemudahan disediakan di masjid ini kepada orang ramai, antaranya kawasan parkir luas serta tandas dan bilik mandi yang selesa.
"Selain itu, masjid ini mempunyai beranda yang luas di mana ia memberi keselesaan kepada tetamu yang hadir untuk iktikaf, berehat serta melelapkan mata selepas menempuh perjalanan jauh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Shafiee berkata, pihaknya turut memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang mengenai soal keselamatan di dalam masjid kerana aspek tersebut sentiasa menjadi keutamaan pengurusan masjid.
Menurutnya, terdapat pengawal keselamatan di masjid yang sentiasa melakukan pemantauan bagi menjaga keselamatan di masjid.
"Berhubung soal berehat dan tidur di masjid, orang ramai tak perlu risau kerana kami tidak pernah melarang atau memarahi sesiapa untuk berehat atau tidur di masjid.
"Malah di masjid ini ada dua beranda besar di kanan dan kiri masjid yang dilengkapi kipas angin serta mozek yang sejuk untuk anda semua berehat dan melelapkan mata selepas penat menempuh perjalanan jauh," ujarnya.
Selain itu, katanya, bilik mandi juga disediakan kepada pengunjung bagi membersihkan badan demi keselesaan untuk beribadah di masjid nanti.
"Jadi kami menjemput peserta RXZ Members yang datang dari jauh secara beramai-ramai singgah ke Masjid Al-Abrar, Bukit Tok Beng untuk solat berjemaah bersama dan melakukan aktiviti yang disediakan di sini termasuk makan makanan tengah hari percuma disediakan.
"Inilah adab Islam dalam meraikan tetamu serta menarik anak muda mengimarahkan rumah ALLAH," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!