Isu sijil halal: Kertas siasatan Teresa Kok dirujuk kepada AGC dalam 2 hari

Razarudin.
Razarudin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat jam 12 tengah hari Selasa, sebanyak 50 laporan diterima berkaitan isu berkenaan.

"Kita sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan dijangka dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh dua hari untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Teresa tiba di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman jam 9.42 pagi untuk dirakam keterangan.

Teresa bersama peguam Syahredzan Johan dan Ramkarpal Singh dilihat keluar dari Bukit Aman pada jam 11.55 pagi, sebelum mengadakan sidang akhbar.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (raja, agama dan kaum) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.

Tambahnya, laporan yang diterima polis ini berikutan rasa ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Kata Razarudin, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

PDRM menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

PDRM juga menyeru semua masyarakat untuk hayati prinsip Rukun Negara.

Sebelum ini, Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!