Peguam rugi RM1.75 juta gara-gara love scam

Azizi (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shamsuddin selepas Program Libat Urus Waspada Penipuan dan Jenayah Semasa di sebuah hotel pada Selasa.
Azizi (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shamsuddin selepas Program Libat Urus Waspada Penipuan dan Jenayah Semasa di sebuah hotel pada Selasa.
A
A
A

TELUK INTAN - Gara-gara terpedaya dengan cinta jejaka warga asing, seorang peguam kerugian kira-kira RM1.75 juta akibat ditipu lelaki yang hanya dikenali kurang tiga bulan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 58 tahun pada Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ahli geologi marin sejak Julai lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan meminta bantuan kononnya wang tunai hilang selepas dirompak ketika sampai di Malaysia.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa dia datang ke Malaysia untuk satu projek pembinaan tangki dasar laut di pesisir laut Terengganu.

"Mangsa yang terpedaya dengan suspek bertindak membuat pemindahan wang ke lapan akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.75 juta," katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Program Libat Urus Waspada Penipuan dan Jenayah Semasa di sebuah hotel dekat sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin; Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz; Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak, Shamsuddin Tajul Urus dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri.

Azizi berkata, mangsa menyedari diperdaya selepas wang yang dipindahkan tidak dipulangkan seperti dijanjikan suspek sebelum bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, susulan itu pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Azizi menjelaskan daerah Hilir Perak mencatatkan penurunan kes jenayah penipuan dalam talian pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan lebih RM2 juta bagi tempoh tujuh bulan.

Mengenai program berkenaan, beliau berkata, sesi libat urus tersebut melibatkan golongan sasar dalam kalangan warga pendidik dan ketua-ketua agensi di daerah Hilir Perak.

Jelasnya, jenayah penipuan dalam talian masih lagi berlaku kerana modus operandi dan trend penjenayah sentiasa berubah-ubah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!