Palestin putus hubungan dengan Israel, AS

Abbas menunjukkan peta wilayah Palestin yang bermula dengan pelan pembahagian oleh PBB pada 1947 diikuti pelan sempadan 1948-1967dan pelan terkini yang memperluaskan pendudukan Israel. - Foto Agensi
Abbas menunjukkan peta wilayah Palestin yang bermula dengan pelan pembahagian oleh PBB pada 1947 diikuti pelan sempadan 1948-1967dan pelan terkini yang memperluaskan pendudukan Israel. - Foto Agensi
A
A
A

KAHERAH - Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak lagi mengiktiraf sebarang hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan pelan damai berat sebelah, Deal of the Century pada minggu lalu.

“Kami tiada lagi sebarang hubungan dengan Israel dan AS. Pelan diumumkan Trump itu jelas melanggar Perjanjian Oslo,” kata Presiden Mahmoud Abbas pada mesyuarat tergempar Liga Arab di Kaherah semalam.

Menurut Abbas, keputusan itu akan turut memberi kesan kepada kerjasama keselamatan antara Tel Aviv dan PA.

Sementara itu, para Menteri Luar Liga Arab yang menyertai mesyuarat tersebut berpendapat pelan Deal of the Century itu tidak akan membawa kepada perdamaian komprehensif dan adil.

Mereka sebulat suara menyatakan tidak akan bekerjasama dengan AS untuk melaksanakan pelan tersebut dan sekali lagi mengulangi pendirian hak penduduk Palestin untuk menubuhkan negara dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara berdasarkan kawasan yang diduduki Israel ketika Perang Enam Hari 1967.

“Tiada langkah perdamaian boleh dicapai tanpa mengiktiraf hak Palestin dan penyelesaian menyeluruh berdasarkan Inisiatif Keamanan Arab 2002,” kata jurucakap Liga Arab.

Delegasi Arab Saudi yang diwakili Menteri Luar, Putera Faisal Farhan juga mengesahkan sokongan mereka terhadap Palestin.

Pelan Deal of the Century yang dicadangkan Trump itu membolehkan Israel memperluaskan pendudukan mereka di Tebing Barat dan Lembah Jordan selain mengiktiraf penempatan haram Yahudi yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!