IPP Malaysia naik 5.3 peratus pada Julai - DOSM
KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.3 peratus pada Julai 2024 susulan pertumbuhan 5.0 peratus pada bulan sebelumnya didorong oleh lonjakan pengeluaran pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, output pembuatan meningkat sebanyak 7.7 peratus pada Julai 2024 berbanding 5.2 peratus pada bulan sebelumnya dan pengeluaran elektrik meningkat sebanyak 7.0 peratus berbanding 3.5 peratus pada Jun 2024.
"Sementara itu, pengeluaran sektor perlombongan merosot 5.0 peratus berbanding pertumbuhan 4.9 peratus pada Jun 2024.”
"Berbanding dengan bulan sebelumnya, IPP turun 1.5 peratus daripada pertumbuhan 4.8 peratus pada bulan sebelumnya," katanya.
DOSM berkata, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan berorientasikan domestik menunjukkan prestasi baik pada Julai 2024, masing-masing mencatatkan kadar pertumbuhan 7.8 peratus dan 7.5 peratus, berbanding 5.4 peratus dan 4.6 peratus bulan sebelumnya.
Ia berkata, pertumbuhan Julai 2024 dalam industri berorientasikan eksport didorong oleh pengembangan menyeluruh merentas semua sektor dengan pembuatan berasaskan produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan menyaksikan peningkatan dua angka yang ketara sebanyak 21.9 peratus berbanding 11.0 peratus pada Jun 2024.
DOSM berkata, ini diikuti oleh kenaikan 5.0 peratus dalam pembuatan komputer, elektronik dan produk optik berbanding 4.9 peratus pada Jun 2024.
"Selain itu, pembuatan kok dan produk petroleum ditapis terus menunjukkan prestasi yang baik, mencatatkan pertumbuhan 11.7 peratus (Jun 2024: 12.5 peratus),” katanya.
Tahun ke tahun, DOSM berkata, pengembangan industri berorientasikan eksport mencerminkan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang meningkat sebanyak 10.6 peratus pada Julai 2024.
"Bagaimanapun, pada asas bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merosot sebanyak 3.3 peratus berbanding pertumbuhan 11.8 peratus pada Jun 2024,” katanya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata, bagi tujuh bulan pertama 2024, IPP meningkat 4.1 peratus berbanding 1.1 peratus dalam tempoh yang sama sebelumnya.
"Semua sektor mencatat pertumbuhan iaitu indeks perlombongan (2.9 peratus), perkilangan (4.1 peratus), dan elektrik (7.1 peratus),” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!