RMK-12: 40 projek di bawah PETRA diluluskan untuk Pahang

Akmal Nasrullah (tengah) menyaksikan majlis penyerahan projek persekutuan kepada Kerajaan negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Akmal Nasrullah (tengah) menyaksikan majlis penyerahan projek persekutuan kepada Kerajaan negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN- Kerajaan Persekutuan meluluskan 40 projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Pahang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos keseluruhan RM5.935 billion.

Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kelulusan itu melibatkan 28 projek sambungan dan 12 projek baharu merangkumi projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pantai, bekalan air serta perkhidmatan pembetungan.

Menurutnya, terdapat 25 projek sedang dilaksanakan di seluruh Pahang terdiri 13 projek sambungan dan 12 projek baharu dengan kos RM4.104 billion yang akan disiapkan secara berperingkat.

"Kerajaan negeri Pahang juga menerima penyerahan tiga projek siap yang dilaksanakan PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bernilai RM155.48 juta.

Akmal Nasrullah dan Razali menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan projek antara Timbalan Ketua.Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Ir Amiruddin Alaldin dan Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Pahang, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah sempena Majlis Penyerahan Projek Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Akmal Nasrullah dan Razali menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan projek antara Timbalan Ketua.Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Ir Amiruddin Alaldin dan Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Pahang, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah sempena Majlis Penyerahan Projek Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Selasa.

"Projek yang diserahkan itu melibatkan dua projek tebatan banjir dan satu projek hakisan pantai termasuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Kuantan Fasa II; Pakej 1, projek menaiktaraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir serta kerja-kerja berkaitan bernilai RM108.96 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Majlis penyerahan tiga projek siap di bawah PETRA itu turut disaksikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim, wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Akmal Nasrullah berkata, turut diserahkan Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam, Sungai Ringlet, Cameron Highlands bernilai RM44.94 juta dan projek mencegah hakisan di Pantai Sepat di sini dengan kos RM1.57 juta.

Jelasnya, melalui pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan Fasa II; Pakej 1: Projek Menaiktaraf Sungai Belat itu, kira-kira 1,255 hektar kawasan banjir sekitar Sungai Kuantan dapat diselamatkan dan 35,680 penduduk sekitar Paya Besar terhindar daripada risiko bencana banjir.

"Projek ini dilaksanakan melalui inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 52 bulan bermula 15 Januari 2018 dan telah siap sepenuhnya pada 10 Mei 2023.

"Projek tebatan banjir di Sungai Ringlet, Cameron Highlands siap sepenuhnya pada 23 Mei 2020 di mana skop kerja projek ini untuk meningkatkan kapasiti sungai dengan menaiktaraf Sungai Ringlet sepanjang 1.1 kilometer (km) dan menaiktaraf enam jambatan.

"Melalui projek ini, kira-kira 2,300 penduduk sekitar kawasan tersebut mendapat perlindungan daripada banjir lumpur dan banjir kilat," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan projek mencegah hakisan di Pantai Sepat mengambil masa selama 14 bulan bermula 14 Mac 2022 dan siap sepenuhnya pada 6 Mei tahun lalu meliputi kerja-kerja penambakan pantai bagi memulihara semula pantai dan mengurangkan kesan hakisan di kawasan pantai sepanjang 1.2 km itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!