Maritim tahan tekong, empat awak-awak warga Myanmar
KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama tekong serta empat awak-awak dalam pemeriksaan kira-kira 11 batu nautika dari sini pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Ariffin Ghazali berkata, kesemua individu yang yang berusia antara 39 hingga 54 tahun itu ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan tersebut kira-kira jam 10.11 pagi.
"Vesel tersebut ditahan ketika anggota melakukan rondaan rutin Op Iman di sekitar perairan Terengganu dan memeriksa sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati empat orang awak-awak warganegara Myanmar berada di atas vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa surat kebenaran bertulis yang sah daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 1,200 kilogram hasil laut dan anggaran minyak diesel berjumlah 4,000 liter bernilai RM10,000 dalam pemeriksaan di vesel tersebut.
"Kesemua yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.
Ariffin berkata, pihaknya akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat.
"Selain itu memperkasakan penguatkuasaan bagi menggesa komuniti maritim terutama komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta memberi keutamaan terhadap keselamatan apabila berada di laut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!