Tentera Israel hentikan konvoi PBB di Gaza, kempen vaksinasi polio terancam

Seorang jururawat memberikan vaksin polio kepada kanak-kanak Palestin di sekolah PBB di kem Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. Foto EPA
Seorang jururawat memberikan vaksin polio kepada kanak-kanak Palestin di sekolah PBB di kem Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dalam perjalanan untuk melaksanakan kempen vaksinasi polio penting bagi kanak-kanak di Bandaraya Gaza dan utara Gaza telah ditahan selama lebih lapan jam pada Isnin selepas kenderaan mereka dihentikan oleh tentera Israel.

Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat Philippe Lazzarini berkata, konvoi itu, walaupun penyelarasan terperinci sebelum ini dihentikan dengan ancaman senjata sejurus selepas pusat pemeriksaan Wadi Gaza dengan ugutan untuk menahan kakitangan PBB.

"Kerosakan teruk disebabkan oleh jentolak kepada kenderaan perisai PBB," kata Lazzarini dalam hantaran di X, yang turut disiarkan semula di akaun X UNRWA.

"Semua kakitangan dan konvoi kini telah dibebaskan dan kembali dengan selamat ke pangkalan PBB.

"Kami tidak dapat mengesahkan sama ada kempen (vaksinasi) polio akan diteruskan esok, (Selasa) di utara Gaza,” tambah Lazzarini.

Beliau mengecam insiden itu dan menyifatkannya sebagai yang terbaru dalam siri pelanggaran serius terhadap kakitangan PBB, termasuk tembakan ke arah konvoi dan penahanan di pusat pemeriksaan walaupun telah dimaklumkan terlebih dahulu.

"Kakitangan PBB mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka dengan selamat dan dilindungi pada setiap masa, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Gaza tidak terkecuali,” tegas Lazzarini. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!