Dua kali ditipu, guru wanita rugi lebih RM131,000

Seorang guru wanita kerugian lebih RM131,347 apabila menjadi mangsa tawaran skim pelaburan dan sindiket pinjaman wang tidak di laman sosial Facebook. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya Othman)
Seorang guru wanita kerugian lebih RM131,347 apabila menjadi mangsa tawaran skim pelaburan dan sindiket pinjaman wang tidak di laman sosial Facebook. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya Othman)
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru wanita ditimpa dugaan berganda apabila menjadi mangsa tawaran skim pelaburan dan sindiket pinjaman wang tidak wujud serentak hingga kerugian lebih RM131,347.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wang mangsa berusia 28 tahun yang lesap itu dipercayai hasil simpanan sendiri dan wang dipinjam daripada keluarga serta rakan-rakan.

Menurutnya, mangsa pada mulanya terpedaya dengan keuntungan lumayan yang ditawarkan skim pelaburan secara dalam talian yang diiklankan melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu pada 26 Julai lalu.

"Mangsa memuat turun aplikasi pelaburan itu melalui pautan yang diberikan dan memulakan pelaburannya sebanyak RM 550.

"Hasil dari pelaburan pertamanya itu, mangsa menerima keuntungan RM400. Terpedaya dengan pulangan diterima itu, mangsa nekad menambah wang pelabur sehingga RM109,817 melalui 22 transaksi ke 11 akaun berbeza," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, selepas melabur dalam jumlah yang besar itu, mangsa dimaklumkan berjaya mendapat keuntungan ASD$22,000 (RM87,065).

"Bagaimanapun mangsa perlu membayar RM20,000 untuk menebus wang keuntungan itu. Malangnya, dalam proses mengumpul wang RM20,000 itu, mangsa terjerat pula dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud melalui Facebook.

"Bagi mendapatkan pinjaman itu, dia telah membuat bayaran proses RM20,980 melalui 10 transaksi ke lima akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Yahaya mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran keuntungan lumayan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!