Rayuan peniaga jangan roboh surau dapat perhatian

Zamri (tiga dari kiri) dan Suhaimi (lima dari kanan) turun padang meninjau kemudahan surau di Pekan Chengkau pada Selasa
Zamri (tiga dari kiri) dan Suhaimi (lima dari kanan) turun padang meninjau kemudahan surau di Pekan Chengkau pada Selasa
A
A
A

REMBAU - Rayuan peniaga Pekan Chengkau dekat sini agar kemudahan surau awam yang disediakan di situ tidak dirobohkan telah mendapat perhatian daripada Majlis Daerah Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kota, Suhaimi Aini.

Pada sesi turun padang diadakan di pekan berkenaan pada Selasa, persetujuan telah dibuat agar kemudahan itu dikekalkan dan akan dibaik pulih.

Pegawai Daerah Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, cadangan merobohkan surau berkenaan timbul kerana pihaknya beranggapan ia tidak lagi digunakan.

"Ada salah faham. Kita ingatkan surau itu tidak lagi digunakan kerana jika dilihat dari luarannya seperti terbiar dan sebab itu kita bercadang merobohkannya.

"Lagi pun, ketika ini ada kerja-kerja pembaikan tandas awam sedang dibuat di pekan terbabit dan disebabkan itu kita ambil kesempatan meminta kontraktor merobohkannya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya difahamkan surau tersebut pernah menjadi tempat gelandangan, malah pernah dijumpai botol arak di dalamnya.

Oleh sebab itu katanya, bagi mengelakkan perkara lain yang tidak sepatutnya berlaku timbul cadangan untuk merobohkannya.

"Kita pun tak tahu sebenarnya dua bulan lalu peniaga telah ambil inisiatif untuk menukar pintu dan membaik pulih beberapa kerosakan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita akan kekalkan surau berkenaan dan akan mohon peruntukan di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat di bawah Kementerian Ekonomi bagi tujuan membaik pulih surau ini," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan peniaga di Pekan Chengkau terkejut apabila kemudahan surau di situ akan dirobohkan tidak lama lagi.

Mereka berharap kemudahan itu dikekalkan dan dibaik pulih kerana ia amat diperlukan memandangkan masjid terdekat kira-kira satu kilometer dari situ.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!