Kelantan kenal pasti tiga masalah utama dihadapi pesawah
KOTA BHARU - Kerajaan negeri sudah mengenal pasti tiga isu utama yang membelenggu hampir 7,000 pesawah di negeri ini iaitu kemarau, aras air sungai dan operasi pam.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya akan membincangkan masalah berkenaan pada Mesyuarat Exco pada Rabu.
Menurut beliau, beberapa usaha sudah diambil termasuk perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan kebajikan petani terjaga dan isu pengairan diutamakan.
"Selain itu, melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) kali ke-13/2024 yang bersidang pada 26 Jun lalu turut bersetuju melakukan tiga pendekatan iaitu kerja penyelesaian segera dan darurat, kerja penyelesaian jangka sederhana dan kerja penyelesaian jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Tapak Rumah Pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ketereh pada Selasa.
Mohd Nassuruddin memberitahu, antara usaha yang dilakukan ialah kaedah telaga tiub dengan anggaran kos RM1.2 juta yang dipohon melalui Kerajaan Persekutuan.
Jelas beliau, kerajaan negeri juga meluluskan RM350,000 untuk tujuan sama termasuk pemecahan batu hampar dengan peruntukan Persekutuan RM1 juta.
"Kita juga mereka bentuk, membina dan menyiapkan sistem pam Kemubu dan Lemal melalui peruntukkan RM20 juta yang diluluskan kepada KADA serta pembaikan benteng sementara dan kerja-kerja berkaitan di Skim Pengairan Kemubu dengan anggaran kos RM15 juta," katanya.
Tambah beliau, sebagai usaha penyelesaian jangka panjang, Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) atau ampang jajar dibina dengan anggaran kos RM700 juta.
Katanya lagi, TAPS dapat berfungsi mendapatkan bekalan air bagi tanaman pada dua musim setahun dan jaminan sumber air mencukupi pada waktu kemarau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!