Korea Utara rancang perluasan senjata nuklear
SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata, bahawa Pyongyang akan meningkatkan jumlah senjata nuklearnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jong Un berkata, bahawa simpanan senjata nuklear Korea Utara harus ditingkatkan secara eksponen semasa berucap pada Isnin bersempena Hari Penubuhan negara itu.
"Kami kini melaksanakan dasar pembinaan angkatan bersenjata nuklear dengan meningkatkan bilangan senjata nuklear mengikut perkembangan geometri,” agensi berita negara KCNA memetik kenyataan Kim pada Selasa.
Jong Un turut menuduh "musuh" ingin menyerang Korea Utara dengan senjata nuklear, tanpa menyebut negara mana yang dimaksudkan atau memberikan sebarang bukti.
Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Korea Utara kini memiliki sekitar 50 kepala peledak nuklear, walaupun jumlah sebenar tidak diketahui.
Korea Utara dikenakan sekatan antarabangsa kerana program senjata nuklear dan peluru berpandunya. Ujian nuklear terakhir yang diketahui berlaku pada 2017.
Ketegangan di Semenanjung Korea meningkat selepas Pyongyang secara signifikan memperluas ujian peluru berpandunya dalam tempoh dua tahun lalu, sambil mempertingkatkan retorik terhadap Amerika Syarikat dan Korea Selatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!