Israel semakin menggila bom sana sini
DAMSYIK - Syria memberi amaran kepada Israel tentang akibat dahsyat disebabkan kekejaman berterusan di rantau Asia Barat.
Kementerian Luar Syria mengeluarkan kenyataan tegas itu pada Isnin, sehari selepas serangan ganas dilancarkan rejim Zionis wilayah Hamas yang meragut hampir 20 nyawa manakala 37 yang lain cedera termasuk enam berada dalam keadaan kritikal.
“Serangan sistematik ke atas tanah Syria dan wilayah lain di rantau ini termasuk kempen kekejaman berterusan di Genting Gaza dan Tebing Barat menunjukkan 'dorongan panik' entiti fasis untuk meningkatkan lagi ketegangan serantau.
“Tindakan rejim Tel Aviv sengaja membahayakan rantau ini tidak terjangkau dek akal,” ujar kementerian itu.
Ia turut mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat lain bersekongkol dengan kempen keganasan sedemikian serta menyokong jenayah dilakukan rejim Zionis.
“Damsyik berhak untuk mempertahankan kedaulatan negara ini dan membebaskan Bukit Golan yang diduduki Israel sejak 1967. Kami akan menggunakan segala saluran yang sah dan dijamin undang-undang antarabangsa bagi menuntut hak itu,” tegasnya lagi.
Sejak gerakan penentangan anti-Israel mula bangkit sebagai tanda solidariti dengan Palestin, rejim Tel Aviv dilaporkan turut melancarkan serangan membabi buta ke atas pelbagai lokasi di Syria.
Bedilan itu jelas menyasarkan markas milik puak penentang.
“Musuh melakukan pencerobohan ruang udara dari arah barat laut Lubnan dan menyasarkan sejumlah markas tentera. Sistem pertahanan kita berjaya menembak jatuh sebahagian daripada misil tersebut,” menurut SANA memetik sumber tentera.
Sementara itu, laporan CNN mendakwa sasaran utama serangan itu adalah kemudahan yang menghasilkan senjata kimia.
“Bedilan itu menyasarkan Pusat Penyelidikan dan Kajian Saintifik Tentera Syria (SSRC) dan beberapa bangunan berhampiran. Saya terdengar bunyi lapan letupan kuat dan disusuli siren ambulans.
“Lebih banyak letupan kedengaran 30 minit selepas itu,” kata seorang penduduk di kawasan berdekatan.
Pada 2017, Barat pernah mengenakan sekatan terhadap sejumlah pegawai di SSRC yang didakwa terlibat dengan projek penghasilan agen kimia berbahaya, gas sarin. - Agensi
Info
>Israel melancarkan serangan udara secara selang-seli ke atas Syria sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.
>Pejuang Hizbullah dikatakan mengukuhkan kedudukan mereka di Damsyik sejak kebangkitan Arab Spring pada 2011.
>Pada Jun lalu, kempen serangan udara berhampiran wilayah Aleppo telah mengorbankan seorang penasihat tentera Iran.
>Pada April lalu, tindakan Israel mengebom kompleks Kedutaan Iran di ibu kota Syria telah mencetuskan konfrontasi berbahaya yang membawa Asia Barat ke ambang peperangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!