Bekas tentera bunuh ibu tunggal terlepas hukuman mati
ALOR SETAR - Seorang bekas anggota tentera terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati mandatori yang dijatuhkan ke atasnya kerana membunuh seorang ibu tunggal 10 tahun lepas, dengan penjara 38 tahun dan 12 sebatan.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Mat dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan semakan Mohammad Yusyairi Saidin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Tengku Maimum mengetepikan hukuman mati terhadap Mohammad Yusyairi, 46, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 September 2017 dan digantikan dengan hukuman penjara 38 tahun dari tarikh tangkap, iaitu pada 24 September 2014.
Mohammad Yusyairi telah menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Mengikut fakta kes, pada 21 September 2014, lebih kurang 7.30 pagi, polis menerima satu panggilan telefon daripada orang awam mengatakan terdapat mayat tertiarap di KM10 Kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Inas, Jalan Baling.
Siasatan awal mendapati terdapat dua kesan luka tikaman di bawah leher, satu di belakang leher, kesan hirisan di pipi kanan, kesan tikaman di dada kiri depan, kesan tikaman dan hirisan di perut sebelah kanan mangsa yang mempunyai tujuh anak.
Berikutan penemuan mayat wanita dikenali sebagai Hasma Norlela Zaini, 53, itu, polis menahan Mohammad Yusyairi pada 24 September 2014, lebih kurang 6 petang di hadapan Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan, Kem Gerik, Perak.
Mohammad Yusyairi yang telah disabitkan di Mahkamah Tinggi, kemudian merayu terhadap keputusan itu, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 27 Oktober 2021 mengekalkan sabitan serta hukuman.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun setelah mengambil kira kesan kecederaan yang banyak pada mangsa akibat ditikam.
Dalam prosiding sama, seorang pengusaha kantin yang membelasah teman wanitanya sehingga mati dan kemudian tidur semalaman dengan mayat wanita itu sebelum membakarnya pada keesokan pagi, turut dilepaskan daripada hukuman mati.
Pada Julai 2016, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Abd Khalid Md Isa, 53, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan membunuh Rohani Hashim, 30, di rumahnya di Jalan Pengkalan Datuk Keramat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, antara 29 September kira-kira 3 petang dan 1 Oktober 2014, kira-kira 6.40 petang.
Bagaimanapun, pada Disember tahun yang sama, Mahkamah Rayuan menghantar balik kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula selepas memutuskan sabitannya tidak selamat.
Walaupun dia diwakili peguam, Abd Khalid sekali lagi mengaku bersalah terhadap pertuduhan membunuh di hadapan hakim yang kemudiannya mensabitkan Abd Khalid dan menjatuhkan hukuman mati.
Abd Khalid dihantar untuk pemerhatian psikiatri sebanyak dua kali pada 2016 serta 2017 dan doktor mengesahkan bahawa dia layak dibicarakan dan membuat pengakuan.
Kes Mohammad Yusyairi dan Abd Khalid merupakan antara lebih 30 kes semakan dilakukan semasa Persidangan Mahkamah Persekutuan yang diadakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!