Status wuduk apabila bertuala mandi
TERDAPAT segelintir orang yang hanya bertuala ketika mengambil wuduk memandangkan dirinya baru sahaja selesai mandi.
Bagi mereka, cara itu sangat memudahkan kerana tidak perlu kembali semula ke bilik air selepas bersiap, sebaliknya boleh terus menunaikan solat.
Namun begitu, ada yang ragu-ragu dengan status apabila mengambil wuduk dengan hanya bertuala mandi sahaja tanpa berpakaian.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, dalam kitab At-Taqrirat as-Sadidah, menutup aurat ketika berwuduk termasuk dalam perkara wajib mahupun sunat untuk dilakukan.
“Dalam bab mandi, ada dinyatakan bahawa menutup aurat termasuk sebagai salah satu perkara sunat ketika mandi. Aurat yang dimaksudkan itu ialah dua kemaluannya iaitu qubul dan dubur.
“Justeru, disunatkan untuk seseorang menutup kedua-duanya kerana ia merupakan auratnya ketika bersendirian,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #7021: Berwuduk sambil memakai tuala yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri baru-baru ini.
Bagaimanapun, situasi berbeza jika seseorang itu mengambil wuduk dalam keadaan tanpa pakaian di tempat awam.
Menurut agamawan itu, saat tersebut sudah jelas hukumnya adalah wajib bagi dirinya untuk menutup aurat.
Sekalipun bersendirian, katanya, seseorang perlu sedaya upaya mengelakkan dirinya daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan.
“Hal ini sebagaimana dinukilkan oleh ulama Mazhab Hanafi mengikut pendapat yang sahih, ulama Mazhab Syafie dan Hanbali yang mana kesemuanya berpandangan, wajib untuk menutup aurat meskipun bersendirian (berada di tempat sunyi) dan jauh daripada pandangan manusia.
“Sementara itu, Mazhab Maliki berpandangan, sunat untuk menutup aurat sendiri ketika bersendirian dan ia dituntut sebagai sikap malu kepada ALLAH SWT dan para malaikat-NYA.
“Adapun, jumhur ulama berhujah bahawa arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak dan juga kerana ALLAH SWT itu lebih layak seseorang tersebut untuk malu terhadap-NYA. Justeru, menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapat keperluan seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya,” katanya.
Dr Zulkifli kemudian menukilkan pandangan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd Al-Aziz yang pernah ditanya tentang kesahan wuduk seseorang yang mengambil air sembahyang dalam keadaan telanjang di dalam satu tempat ketika bersendirian.
“Syeikh ‘Abd Al-Aziz menjawab, tiada masalah berbuat demikian, tetapi lebih baik dan sempurna andai seseorang itu memakai pakaian terlebih dahulu, kemudian berwuduk,” katanya.
Berdasarkan hujah yang dinyatakan, ujar Dr Zulkifli, berwuduk tanpa berpakaian dihukumkan sebagai makruh, tetapi wuduknya tetap sah.
Sementara itu, berwuduk dengan hanya bertuala mandi juga tetap dikira sah.
“Semoga ALLAH mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan kebahagiaan di dunia serta akhirat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!