Seorang dipenjara, dua lagi didenda miliki petrol tanpa lesen

Tiga tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Tawau mengaku bersalah di hadapan hakim dan masing-masing dijatuhkan hukuman.
Tiga tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Tawau mengaku bersalah di hadapan hakim dan masing-masing dijatuhkan hukuman.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki dipenjara empat bulan manakala dua lagi masing-masing didenda RM10,000 dan RM6,000 di Mahkamah Sesyen Tawau di sini pada Selasa, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki petrol yang diperoleh secara runcit tanpa sebarang lesen.

Tertuduh Razif Maek, 39; Herman Hassan, 36, dan Kalding Jabi yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati telah menyimpan 225 liter barang kawalan petrol di dalam sembilan gelen yang disimpan di bonet kenderaan pacuan empat roda, kira-kira jam 7.30 malam, pada 3 September lalu di kawasan tepi bakau di Kampung Sinallang Lama, Semporna.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, (Akta 122) dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Tertuduh pertama dan kedua yang didenda boleh dikenakan hukuman penjara selama enam dan empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh ketiga pula, diperintahkan untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, Jong Jee Leong.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!