Aliff, Azreen raja dan ratu pecut SUKIPT 2024

Aliff Iman raih pingat emas 100 meter wanita SUKIPT 2024.
Aliff Iman raih pingat emas 100 meter wanita SUKIPT 2024.
A
A
A

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki dan wanita Sukan Universiti Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 pada Selasa.

Pingat emas acara 100 meter lelaki menjadi milik pelari pecut UPM, Aliff Iman Mohd Fahmi dengan catatan 10.68 saat.

Aliff Iman menewaskan Hanssen Yap Soon Fu dari Kolej Komuniti Malaysia (KKMAS) yang meraih pingat perak manakal Muhammad Fakhrul Abdul Aziz dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk gangsa.

Hanssen meraih catatan masa 10.71 saat manakala Muhammad Fakhrul pula dengan catatan 10.78 saat.

Bagi pingat emas acara 100 meter wanita pula menjadi milik atlet UPM, Azreen Nabila Alias yang mencatatkan 12.19 saat.

Azreen Nabila (tengah) raih pingat emas 100 meter wanita SUKIPT 2024.
Azreen Nabila (tengah) raih pingat emas 100 meter wanita SUKIPT 2024.

Pingat perak dan gangsa pula menjadi milik pelari pecut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Fatin Ilyana Mat Nayan dan Misezatul Shafieqa Sapawi.

Fatin Ilyana dan Misezatul Shafieqa masing-masing mencatatkan masa 12.71 saat dan 12.99 saat.

Artikel Berkaitan:

Aliff Iman semasa ditemui mengakui kejayaaan tersebut berjaya menebus kekecewaannya yang gagal merangkul pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak Ogos lalu.

Menurutnya, penyertaan pertama di pentas SUKIPT membuahkan hasil dan bersyukur dapat menggenggam emas buat pertama kali pada acara 100 meter tersebut.

"Saya cuba mendapatkan keyakinan dengan tampil lebih tenang dan berlari tanpa tekanan dan ini membuatkan saya hanya memikirkan diri untuk lakukan usaha terbaik.

"Dengan latihan projek B10 (bawah 10 saat) saya bertekad meningkatkan lagi kemampuan saya untuk kejohanan lain selepas ini," katanya.

Azreen pula berkata, pada awalnya dia turut menjangkakan akan diberikan saingan sengit oleh pencabar dari UPSI namun kejayaan berjaya menjadi miliknya.

"Pada awalnya saya tidak menjangkakan kemenangan emas ini kerana turut disaingi hebat oleh dua pelari UPSI.

"Namun saya bersyukur dapat menghadiahkan emas buat pasukan pada SUKIPT ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!