Pakistan tawar visa pantas kepada rakyat Malaysia
NEW DELHI - Pakistan memansuhkan bayaran visa untuk warganegara Malaysia yang melawat negara itu bagi tujuan perniagaan, pelancongan atau lawatan keagamaan ke tapak ziarah Sikh.
Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa rakyat Malaysia hanya perlu mendapatkan 'Visa Sebelum Ketibaan (VPA)' melalui Sistem Visa Dalam Talian Pakistan di https://visa.nadra.gov.pk/visa-prior-to-arrival/.
"Hanya pasport dan VPA diperlukan untuk tujuan imigresen. Tiada bayaran dikenakan termasuk yuran pemprosesan,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya Tinggi Pakistan berkata, proses VPA diperkemas bagi memastikan notis pemberian visa atau visa dihantar kepada pemohon melalui e-mel dengan segera.
"Jika permohonan visa memerlukan semakan lanjut, keputusannya akan dimaklumkan tanpa sebarang kelewatan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!