Tohmahan JK Harmoni agenda pluralisme agama tidak benar - Aaron

Aaaron Ago Dagang
Aaaron Ago Dagang
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tuduhan mengatakan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) sebagai agenda pluralisma agama di bawah kerajaan amat keterlaluan dan tidak benar sama sekali.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaaron Ago Dagang berkata, beliau kesal dengan tomahan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard itu.

Menurutnya, JK Harmoni merupakan satu-satunya platform yang diwujudkan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang antara badan-badan agama Islam dan selain Islam serta berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Fungsi utamanya adalah untuk mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian serta berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

“Selain itu JK Harmoni bertanggunjawab melaksanakan secara bersama aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, Che'gu Bard turut membuat tuduhan palsu dengan menyatakan bahawa kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) melalui Program Harmoni Madani melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam.

“Saya ingin menekankan sekeras-kerasnya bahawa pelaksanaan Program Jejak Harmoni iaitu salah satu program di bawah Inisiatif Harmoni Madani tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama.

“Program ini bertujuan untuk menyebarkan semangat kebersamaan, saling memahami, mengangkat nilai sejagat antara agama sekaligus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

Aaaron berkata, pelaksanaan Inisiatif Harmoni Madani mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:


“Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) tahun 2022 mencatat nilai 0.629 menunjukkan perpaduan nasional berada pada tahap sederhana dan terkawal.

“Salah satu asas pembangunan IPNas adalah penelitian dan pengenalpastian defisit sosial yang dikategorikan kepada 10 perkara iaitu etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik federalisme, ruang bandar-desa dan media.

“Agama turut menjadi salah satu defisit sosial kerana kurang sensitiviti serta kefahaman berkenaan agama yang berbeza memberi kesan kepada hubungan dan interaksi masyarakat,” katanya

Tambahnya lagi, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjadikan keharmonian antara penganut agama sebagai agenda utama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!