Reban PokLeh tarikan baharu di Pontian

Kanak-kanak tidak melepaskan peluang memberi makan kepada arnab.
Kanak-kanak tidak melepaskan peluang memberi makan kepada arnab.
A
A
A

MELIHAT gelagat anak-anak memegang dan membelai arnab, kambing, burung unta, kura-kura dan pelbagai haiwan lain yang dibiarkan bebas berkeliaran pasti membuatkan sesiapa sahaja terhibur.

Semua itu boleh dilakukan di Reban PokLeh yang mengetengahkan konsep petting zoo di mana pengunjung dapat membelai dan memberi makan kepada haiwan.

Terletak di Ayer Baloi dan kira- kira 13 kilometer dari bandar Pontian, Reban Pokleh yang dimiliki Mohd Solehin Ramlan, 35, kini menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah tersebut.

Tidak hairanlah jika zoo mini berkenaan tidak pernah sunyi dengan kehadiran kanak-kanak yang terdiri dari pengunjung tempatan dan luar Johor.

Mohd Solehin kini berbangga apabila usahanya untuk membuka sebuah zoo mini di Ayer Baloi, Pontian mendapat sambutan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Mohd Solehin kini berbangga apabila usahanya untuk membuka sebuah zoo mini di Ayer Baloi, Pontian mendapat sambutan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Mohd Solehin berkata, anak-anak akan berasa selesa kerana haiwan di zoo mini itu istimewa terutama burung unta dan kambing yang merupakan haiwan jinak dan mesra pengunjung.

Malah ujarnya, ayam yang dibiarkan berkeliaran membuatkan persekitaran zoo mini seperti sebuah kampung dengan suasana yang redup dan nyaman dikelilingi pokok-pokok.

Artikel Berkaitan:

“Di sini kami memaparkan nama setiap haiwan bagi membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak mengenali dan mempelajari sesuatu daripada kunjungan mereka.

“Pengunjung boleh membelai binatang tersebut selain boleh memberikan makanan yang dijual di sini,” ujarnya.

Sambutan menggalakkan

Berkongsi mengenai kisah tercetusnya idea untuk membina zoo mini tersebut, Mohd Solehin berkata, ia bermula daripada hobinya yang suka membela ayam.

Zoo mini di Reban PokLeh menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung seterusnya membantu merancakkan sektor pelancongan di Pontian.
Zoo mini di Reban PokLeh menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung seterusnya membantu merancakkan sektor pelancongan di Pontian.

Katanya, aktiviti itu dijadikan aktiviti di masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelbagai baka induk ayam dari negara China, Belanda, Jerman dan Turkiye dibeli sejak 10 tahun lalu. Apabila jumlah ayam yang dibela makin bertambah, saya terfikir untuk membuka sebuah zoo mini.

Kambing dibiarkan bebas berkeliaran di Reban PokLeh.
Kambing dibiarkan bebas berkeliaran di Reban PokLeh.

“Ia membolehkan orang ramai datang bersama keluarga dengan anak-anak untuk memberi makan kepada haiwan dan meluangkan masa bersama,” jelasnya.

Tambah Mohd Solehin, sejak dibuka dua tahun lalu, zoo mini berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung seterusnya membantu merancakkan sektor pelancongan di Pontian.

“Pontian dikenali sebagai lokasi pelancongan budaya dan alam semula jadi. Lokasi terkenal antaranya Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup.

“Apabila pengunjung luar datang ke daerah ini, mereka akan singgah ke Reban Pokleh,” katanya.

Sementara itu, pekerja zoo tersebut, Zaini Ibrahim, 55, berkata, bilangan pengunjung ke Reban PokLeh akan meningkat setiap kali cuti sekolah.

Zaini menunjukkan landak yang merupakan haiwan jarang ditemui.
Zaini menunjukkan landak yang merupakan haiwan jarang ditemui.

“Kanak-kanak suka melihat ayam yang bebas berkeliaran di sini. Suasananya seperti di kampung dulu-dulu, dan ada yang beri makan.

“Selain itu, ada juga haiwan seperti landak yang jarang ditemui turut berada di Reban PokLeh,” ujarnya.

Bagi pengunjung tempatan, Farid Zulkifli, 30, berkata, dia berpuas hati dapat membawa anak melihat dan membelai pelbagai haiwan dengan harga tiket serendah RM5.

Farid berpuas hati kerana datang membawa anak melihat dan bermesra dengan pelbagai haiwan dengan harga tiket serendah RM5.
Farid berpuas hati kerana datang membawa anak melihat dan bermesra dengan pelbagai haiwan dengan harga tiket serendah RM5.

“Bagi saya, amat berbaloi kerana anak-anak berpeluang mendekati pelbagai haiwan seperti kambing, ayam dan arnab. Tidak perlu bersusah payah untuk keluar daerah untuk berkunjung ke zoo mini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!