'Zon kemanusiaan Gaza pun dah tak selamat'
GENTING GAZA - Agensi Pertahanan Awam di Genting Gaza mendakwa serangan ganas terbaharu rejim Zionis ke atas zon kemanusiaan di kawasan selatan wilayah itu telah meragut puluhan nyawa.
Terdahulu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan operasi ketenteraan itu kononnya menyasarkan pusat operasi pejuang Hamas sebaliknya ia mengebom 'zon selamat' ciptaan mereka di al-Mawasi, Khan Yunis tanpa perikemanusiaan.
Meskipun ia ditetapkan sebagai zon kemanusiaan, IDF tetap membedil lokasi itu termasuk serangan udara pada Julai lalu yang didakwa mengorbankan ketua sayap ketenteraan Hamas, Mohammed Deif.
Jurucakap pihak berkuasa, Mohammed al-Mughair pada Selasa memberitahu, kira-kira 60 mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital berhampiran.
“Kru kami masih melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejumlah lagi mangsa yang dilaporkan hilang setelah khemah sementara menjadi tempat berlindung penduduk Palestin dibedil. Operasi SAR ini agak sukar kerana kekurangan peralatan untuk menggali,” ujarnya.
Difahamkan, IDF tidak memberi sebarang amaran awal sebelum serangan itu dilancarkan bagi memberi peluang kepada golongan itu melarikan diri.
“Kira-kira 40 khemah musnah sepenuhnya. Serangan itu turut menghasilkan tiga kawah besar. Paling menyedihkan ada banyak keluarga yang tertimbus di bawah kempen pembunuhan kejam itu,” katanya lagi.
IDF sekali lagi menjadikan alasan operasi itu menyasarkan pusat operasi Hamas di zon kemanusiaan berkenaan, namun pejuang bumi Gaza itu menyangkal tuduhan semberono sedemikian.
Dipaksa pindah lagi
Pada Isnin, IDF sekali lagi mengeluarkan arahan pemindahan paksa ke atas beberapa kawasan kejiranan dan bandar berhampiran Bandar Gaza.
Perintah itu diumumkan jurucakapnya, Avichay Adraee menerusi peta kawasan terlibat di barat laut Gaza yang dikongsi di media sosial malah ia mengisytiharkannya sebagai 'zon tempur berbahaya'.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), arahan berpindah itu meliputi hampir sebahagian besar lokasi utama di Gaza.
Adraee memberi alasan lokasi yang terbabit kononnya menjadi tempat pelancaran roket ke Israel meskipun tiada nyawa yang terkorban.
Sebelum pengumuman itu dibuat, pejuang Jihad Islam mengesahkan mereka bertanggungjawab melancarkan roket ke selatan Tel Aviv.
“Dua projektil dikenal pasti melintasi utara Gaza ke wilayah Israel pada lewat Ahad. Salah satu daripadanya berjaya dipintas,” ujar IDF dalam satu kenyataan.
Sejak enam bulan lalu, penduduk Palestin hidup seperti bola dan ditendang ke sana sini untuk mencari tempat berlindung sedangkan tiada lagi tempat selamat untuk dituju. - AFP
Info
- Sebelum perang tercetus, al-Mawasi mempunyai kira-kira 1,200 penduduk untuk setiap kilometer (km) persegi. Kini, zon
kemanusiaan itu menempatkan antara 30,000 dan 34,000 penduduk untuk setiap kilometer persegi.
- Keluasan zon selamat itu juga semakin mengecil daripada 50km persegi kepada 41km persegi.
- Majoriti 2.4 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah sekurang-kurangnya sekali sejak 11 bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!