'Layan kami sama seperti orang lain'

Dari Kiri: Siti Norafiza (kiri), Noorrizan (tengah) dan Mohd Ikhwan mencari rezeki sebagai tukang urut.
Dari Kiri: Siti Norafiza (kiri), Noorrizan (tengah) dan Mohd Ikhwan mencari rezeki sebagai tukang urut.
A
A
A

RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan.

Kekurangan diri tidak membuatkan mereka mengalah, sebaliknya tetap berusaha mencari rezeki demi kelangsungan hidup, namun keprihatinan orang ramai dan kerajaan juga dituntut.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, ROSILAWATI ROSEDI yang menyelami suara hati golongan ini di Temerloh, Pahang.

Diejek sebagai sampah masyarakat dan sukar diterima dalam dunia pekerjaan antara cabaran hidup yang dihadapi Siti Norafiza Borhanuddin, 36, yang kini mencari rezeki sebagai tukang urut sejak tahun 2016 hingga kini.

Siti Norafiza
Siti Norafiza

Anak keempat daripada tujuh beradik itu mempunyai masalah penglihatan terhad sejak lahir dan latar belakang keluarganya yang sederhana menyebabkan dia perlu berdepan pelbagai cabaran untuk meneruskan kehidupan.

“Kalau ditanya cabaran, sudah banyak pengalaman pahit saya hadapi, pernah diejek sampah masyarakat menyebabkan rasa sangat rendah diri.

Artikel Berkaitan:

“Namun sampai bila nak bersedih, saya kena teruskan hidup dan kini mencari rezeki dengan kemahiran yang ada sebagai tukang urut di sini bersama kakak yang juga berdepan masalah sama.

“Memang ada impian untuk dapatkan pekerjaan lain tapi OKU seperti saya sukar untuk diterima dalam dunia pekerjaan,” katanya ketika ditemui di tapak jualan but kereta atau car boot sale (CBS) di sini baru-baru ini.

Tambah wanita itu lagi, kekurangan dirinya juga menyebabkan dia mudah ditipu pelanggan.

“Macam saya, pernah ada pelanggan memberikan duit tak cukup seperti kadar upah yang ditetapkan,” tambah wanita yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan itu.

Jelasnya, pendapatan yang diperoleh juga semakin berkurangan selepas pandemik Covid-19 melanda, hinggakan untuk mendapatkan seorang pelanggan sehari agak sukar berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Secara purata, saya boleh dapat tak sampai RM500 sebulan selain bergantung dengan elaun JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM450 sebulan,” ujarnya yang turut dibebani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Rakannya, Mohd Ikhwan Jaafar, 36, yang berasal dari Alor Setar, Kedah pula menghadapi masalah penglihatan selepas mengalami demam panas ketika berusia enam bulan.

Mohd Ikhwan
Mohd Ikhwan

Anak bongsu daripada empat beradik itu pernah memiliki premis urut di Pulau Pinang namun ia terpaksa ditutup akibat pelbagai masalah antaranya sewa yang semakin mahal, sebelum berhijrah ke Pahang sejak lapan tahun lalu.

Mohd Ikhwan berkata, kemahiran mengurut dipelajari pada 2013 dan kini menjadi sumber pendapatan utama buat dirinya.

“Kini saya dan isteri serta adik ipar menyewa sebuah rumah di sini (Temerloh) dan turut menyediakan khidmat mengurut di rumah selain di tapak CBS Temerloh.

Mohd Ikhwan (kanan) mengurut kaki pelanggan di CBS.
Mohd Ikhwan (kanan) mengurut kaki pelanggan di CBS.

“Nasib baik kami mendapat tuan rumah yang memahami dan sudi menyewakannya kerana sebenarnya agak sukar golongan macam kami mendapat kepercayaan untuk menyewa rumah seperti orang lain,” jelasnya.

Ujarnya, masalah kemudahan mesra OKU yang masih kurang menyukarkan golongan sepertinya.

“Kalau terjatuh itu sudah biasa dan tangan isterinya, Noorrizan Borhanuddin yang juga OKU penglihatan pernah patah akibat terjatuh kerana masalah laluan pejalan kaki, menyebabkan wanita itu tidak dapat meneruskan kerjanya sebagai tukang urut ini sejak beberapa tahun lalu.

Noorrizan
Noorrizan

“Selain itu, masalah pengangkutan, macam untuk ke tapak ini, kena tempah teksi tetapi ada juga individu baik hati menumpangkan kami ke sini,” jelasnya.

Sementara itu, Faizal Zakaria, 51, yang mengalami masalah penglihatan terhad sejak lahir turut berkongsi pendapat sama.

Faizal
Faizal

Katanya, sukar mendapatkan pekerjaan merupakan antara masalah utama yang dihadapi golongan OKU.

Ujarnya, jika tiada kemahiran, agak sukar buat mereka untuk mencari rezeki seperti orang lain.

“Macam saya, ada kemahiran dalam bidang penternakan dan kini mencari rezeki dalam bidang tersebut.

“Masyarakat dan majikan di negara ini perlu lebih terbuka dan memberikan peluang kepada golongan macam kami untuk bersaing dengan mereka yang normal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!