Iktibar kisah Abang Bas
PENULIS suka memerhati ragam manusia di media sosial. Pencipta kandungannya ada pelbagai gaya dan sifat.
Mereka memerah kreativiti untuk menghasilkan kandungan For Your Page (FYP) dan viral.
Namun, penulis tidak tahu apakah kayu pengukur atau justifikasi bagi mengelaskan seseorang itu sebagai pempengaruh media sosial. Adakah dari segi bilangan pengikut ratusan ribu atau jutaan orang, atau berdasarkan jumlah view?
Apa pun, pempengaruh media sosial kini bak selebriti, dijadikan idola dan diberikan anugerah oleh pengendali platform.
Terima kasihlah kerana menyediakan banyak kandungan mencuit emosi. Ada yang buat kita menangis dengan cerita sedih, berkongsi ilmu dan tidak kurang juga yang meriuhkan dunia maya dengan perlumbaan siput sedut. Rakyat Malaysia memang mudah terhibur.
Menyentuh mengenai Video TikTok (VTT), pencipta kandungan boleh mengambil iktibar daripada kisah Abang Bas, bahawa dalam menghasilkan kandungan ada sensitiviti perlu dijaga.
Walaupun niatnya mungkin ingin berkongsi perihal hidup sebagai pemandu bas sekolah, tetapi perbuatan mendedahkan wajah kanak-kanak itu merupakan satu kesalahan.
Dia kini didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Menjadikan kanak-kanak bahan kandungan media sosial boleh merisikokan keselamatan mereka.
Bimbang ‘orang jahat’ mengambil kesempatan, maklumlah dunia ini banyak ‘musang berbulu ayam’.
Boleh jadi orang paling rapat itulah yang perlu kita berwaspada kerana hati manusia bolak-balik.
Ada yang janji lain buat lain, maka tidak peliklah jika ikan tenggiri ‘bertukar’ menjadi ikan selayang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak.
Lihatlah kes yang dilaporkan kebelakangan ini. Ada pengawal keselamatan didakwa merogol anak kandung, suami isteri dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh anak sulung, malah lebih tragis, pasangan warga emas hilang nyawa di tangan anak sendiri. Semuanya melibatkan orang ‘dekat’.
Pegawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Redzuan Zamberi memberitahu, statistik masalah kesihatan Malaysia berada di tahap membimbangkan, apabila seorang daripada tiga individu akan mengalami masalah kesihatan mental.
Katanya, masalah itu boleh disebabkan pengalaman pahit daripada peristiwa silam yang tidak dirawat sehingga menjadi semakin parah.
Ujarnya, perlu dapatkan bantuan awal jika menghadapi peristiwa yang memberi kesan kepada kesihatan mental kerana jika dibiarkan sehingga tiga bulan, akan mendorong kepada sikap murung yang semakin teruk.
Dikhuatiri simptom itu akan ke peringkat lebih tinggi dan sukar untuk dirawat kerana minda sudah separa sedar, jika dibiarkan lebih enam bulan.
Taktik baru scammer
Dalam pada itu, orang ramai perlu berwaspada. Scammer kini rakus menjerat mangsa di media sosial.
Jika ada menerima mesej seperti ini di TikTok, “Salam... nak bagi tahu, saya tengok awak dorang guna tak elok kat group tak senonoh. Masuk kat group tu suruh admin padamkan sebelum dorang viralkan. Saya nampak kat group Telegram sis”
Tolong jangan respons tetapi teruslah menyekat akaun itu kerana bimbang anda tertekan pautan yang diberikan, sekali gus terjerat.
Telegram adalah medium paling tinggi digunakan sindiket penipuan pelaburan dengan 1,346 kes direkodkan serta kerugian mencecah RM29.96 juta sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, 3,863 kes dikesan melibatkan 16 medium sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu. Medium lain ialah Facebook (948), WhatsApp (873) dan Instagram (146).
Jadi, berhati-hatilah selalu dalam setiap perkara, kerana kalau terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan padah akibatnya.
*Asmaliza Mansor ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!