Imigresen serbu Pulau Perhentian, tahan 26 warga asing
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing dalam satu operasi khas di sekitar Pulau Perhentian, Terengganu pada Isnin.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula jam 5 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Negeri Terengganu, selain dibantu Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan warga asing terdiri daripada 13 lelaki warga Bangladesh, enam lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki Pakistan, seorang lelaki Nepal, tiga wanita Thailand serta seorang wanita Indonesia.
Kata beliau, kesemua warganegara asing yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di lokasi pemeriksaan sejak awal tahun ini.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 50 tahun.
"Semakan awal mendapati tiga lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki Pakistan dan tiga wanita Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku.
"Manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ruslin berkata, pasukan operasi menghadapi kesukaran dalam operasi tersebut disebabkan lokasi di persisiran pantai dan permukaan yang berbukit-bukau.
Selain itu katanya, terdapat juga cubaan melarikan diri oleh warganegara asing yang menyedari kehadiran pasukan operasi, namun kecekapan anggota operasi berjaya mematahkan cubaan tersebut.
Menurutnya, kebanyakan warganegara asing yang ditahan menjalankan aktiviti perniagaan dan terdapat juga warganegara Bangladesh menawarkan perkhidmatan 'water taxi' dan warganegara Thailand menawarkan perkhidmatan 'spa'.
Sementara itu kata beliau, warganegara Nepal pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bekerja di resort peranginan.
"Kesemua suspek dipercayai telah menjalankan perniagaan dan bekerja selama sembilan bulan.
"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 59/63 dan Perkara 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Manakala dua lelaki warganegara tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke JIM Terengganu bagi membantu siasatan," ujarnya.
Tambah Ruslin, JIM Terengganu akan mengesan majikan yang menggajikan atau menggunakan pekerja warganegara asing tanpa dokumen atau pas yang sah.
Tegas beliau, pihak jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966,
Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!