Buli siber perlu dinoktahkan
KES buli siber di Malaysia semakin membimbangkan apabila meragut nyawa mereka yang tidak berdosa.
Tidak berapa lama dahulu, negara dikejutkan dengan kes buli siber seorang remaja perempuan yang mengambil nyawanya sendiri selepas menjalani undian di Instagram mengenai sama ada dia patut hidup atau mati.
Selain itu, kes terbaharu yang melibatkan seorang wanita bernama Rajeswary Appahu, 29, yang maut dipercayai bunuh diri akibat tekanan dan kemurungan susulan menjadi mangsa buli siber pada Julai lalu.
Pempengaruh media sosial, guru dan aktivis yang lebih dikenali dengan nama Esha itu telah berdepan dengan gangguan tanpa henti semasa sesi siaran langsung di aplikasi TikTok selama beberapa minggu.
Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Beberapa atlet negara turut menjadi mangsa kepada gelombang negatif di media sosial, tidak hanya mengancam kesejahteraan mental tetapi mencabar semangat kesukanan.
Antara yang menjadi mangsa termasuk ikon sukan berbasikal negara, Datuk Azizul Hasni Awang; jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan penerjun, Nur Dhabitah Sabri.
Buli siber terhadap atlet bukan sahaja mencemar semangat kesukanan, malah memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mental dan prestasi mereka.
Nur Dhabitah sebagai contoh bukan sahaja berdepan tekanan memberikan aksi terbaik di pentas Olimpik Paris 2024 tetapi terpaksa menanggung beban emosi apabila gambarnya disunting dengan niat tidak baik oleh individu tidak bertanggungjawab.
Tindakan itu jelas menunjukkan kurangnya etika dan tanggungjawab dalam kalangan pengguna media sosial, tanpa memikirkan kesan buruk hingga sanggup menyebarkan bahan yang boleh merosakkan imej seseorang.
Insiden-insiden yang berlaku itu akhirnya mendapat perhatian Kerajaan untuk bertindak termasuk menggubal rang undang-undang baharu terhadap isu ini.
Kesungguhan Kerajaan tangani buli siber
Berdasarkan Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020, Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia manakala keenam di peringkat global.
Kedudukan ini jelas menunjukkan perbuatan buli siber kini menjadi masalah yang memerlukan perhatian khusus oleh pihak bertanggungjawab.
Ia dapat dilihat dengan trend penggunaan media sosial secara meluas sekali gus menjadikan platform menggalakkan perbuatan buli siber yang melibatkan semua golongan masyarakat.
Pada sesi sidang Dewan Rakyat Julai lalu, Bahagian Hal Ehwal UndangUndang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengumumkan, Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan sebagai berkata, cadangan pindaan itu bagi mewujudkan peruntukan spesifik dan khas bagi kesalahan terlibat.
Terbaharu pada 15 Ogos lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dijangka dapat dibentang pada sidang Parlimen akan datang.
Rang undang-undang itu kini sedang diperhalusi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan hasrat Kerajaan untuk melesenkan platform media sosial sebagai usaha mengatasi masalah tersebut.
Fahmi juga berkata, rang undangundang itu perlu diperhalusi supaya takrifan kesalahan yang diperuntukkan dalam peraturan baharu adalah lebih jelas dan khusus terutamanya buli siber kerana ia tidak ada takrifan khusus dalam Kanun Keseksaan.
Perhalusi lima elemen, wujudkan rasa selamat di media sosial
Pada 31 Ogos lalu, Malaysia telah menyambut Hari Kebangsaan yang ke-67 dan angka itu sudah cukup untuk mematangkan sikap dan sifat perikemanusiaan dalam diri rakyat negara ini.
Seiring dengan teknologi masa kini, isu buli siber perlu dinoktahkan bagi memastikan platform dalam talian lebih selamat untuk dilayari.
Justeru Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berpandangan, terdapat lima elemen perlu ditekankan dalam menambah baik undangundang berkaitan buli siber.
“Meningkatkan tempoh masa hukuman penjara yang lebih lama kerana kes buli siber yang berlaku ke atas Esha baru-baru ini terlalu ringan dengan pembuli hanya didenda RM100.
“Selain itu perlu juga memperhalusi faktor perlindungan dan pemantauan data dalam talian secara berkesan supaya mana-mana pihak yang menggunakan media sosial terlindung dan data peribadi terjamin,” ujarnya.
Beliau beliau, ketika ini tiada akta spesifik diperuntukkan dan hanya menggunakan akta kesalahan kecil.
Oleh yang demikian, Iskandar Hasan Tan berkata, Parlimen perlu mengubah satu elemen untuk menggabungkan akta komunikasi, multimedia serta fitnah. Ia termasuk pindaan-pindaan lain yang diperlukan supaya menjadi akta spesifik untuk kes buli siber.
“Elemen Kanun Keseksaan iaitu Akta 574 perlu dimasukkan kepada jenayah buli siber yang membawa kematian.
“Di samping itu, elemen pendidikan dan kesedaran buli ini perlu dipertingkatkan dalam menjaga keharmonian semua pengguna yang menggunakan media sosial atau ‘chatting’,” jelasnya.
Dalam menangani isu buli siber, penting untuk kita merdeka dari segi pemikiran dan tindakan, dengan sentiasa menekankan unsur dan nilai kemanusiaan.
Perbuatan sedemikian bagi melahirkan masyarakat yang lebih matang dan berempati, sekali gus menghargai maruah dan hak setiap individu.
REAKSI
Mangsa buli siber akan mengalami kesan fizikal dan mental, sekali gus menjadikan mereka kurang kenyakinan terhadap diri sendiri dan tertekan.” Shafawati Munirah Mohd Zin, 36
Buli siber mengakibatkan mangsa jadi paranoid dan resah apabila menerima katakata kebencian. Ini boleh mendorong perbuatan agresif terhadap diri sendiri dan orang sekeliling.” Susilawati Mardi, 37
Kata-kata kebencian atau negatif kepada mangsa mengakibatkan dia memilih untuk menjauhkan diri daripada orang lain dan berpotensi untuk membahayakan diri kerana berkemampuan mencederakan fizikal mengikut perasaan.” Aida Hayati Azis, 34
Apabila mangsa murung, kesihatan mereka akan terganggu dan boleh beri kesan kepada prestasi kerja. Bila tidak efisien, menyebabkan konflik di tempat kerja.” Fazrul Izwan Zainal, 39
Sudah pasti mangsa akan alami trauma dan hilang keyakinan diri, mula timbul rasa benci terhadap setiap yang dilakukan.” Faizal Izaq Azeman, 28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!