Muhyiddin kekal dituduh empat kes salah guna kuasa

Muhyiddin Yassin. Foto fail Bernama
Muhyiddin Yassin. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu untuk menyemak keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dihadapinya.

Ini bermakna, bekas Perdana Menteri ini selaku pemohon, kekal atas tuduhan berkenaan untuk dibicarakan di Sesyen Kuala Lumpur.

Keputusan sebulat suara itu, diputuskan panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi selepas mendapati mahkamah-mahkamah terdahulu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonannya.

Ketika membaca keputusan itu, Azizah berkata, sebelum ini pasukan pembelaan Muhyiddin menghujahkan, rayuan pendakwaan sebagai responden adalah tidak cekap kerana ia tidak memenuhi keperluan statutori Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata, pemohon mendakwa, ia menyebabkan Mahkamah Rayuan itu telah melebihi bidang kuasanya apabila mendengar permohonan responden.

Sebaliknya panel hakim ini berpandangan bahawa, bidang kuasa untuk mendengar rayuan daripada sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, tidak terhad kepada perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

“Ini semestinya termasuk situasi apabila Mahkamah Tinggi menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk menyemak, membatalkan pertuduhan dan membebaskan perayu daripada pertuduhan jenayah yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

“Disebabkan faktor itu, kami berpendapat, rayuan responden terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang arif, berada dalam lingkungan Seksyen 50(1)(b) itu.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu kami dapati, panel terdahulu (panel tiga hakim Mahkamah Rayuan) mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan mengadili rayuan responden, jadi permohonan permohon untuk semakan ditolak,” katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Pada prosiding ini, Ahli Parlimen Pagoh terbabit diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik selaku pemohon sementara pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 13 Mac 2023 atas satu pertuduhan AMLA berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, untuk dibicarakan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!