Sindiket penyeludupan karkas babi di Kota Bharu tumpas
KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan sindiket penyeludupan karkas babi menerusi Op Taring Chiller Kelantan di sekitar bandar di sini pada Selasa.
Serbuan oleh sepasukan anggota Batalion 9 PGA itu turut menahan seorang lelaki yang merupakan pemandu kepada kenderaan terlibat.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Mitsubishi mendapati anggaran lebih 5,000 kilogram (kg) karkas babi yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam kenderaan tersebut tanpa dokumen yang sah.
"Suspek seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup binatang tersebut ke pasaran tempatan.
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM204,800 dan kes disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyuludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!