Aksi tentera cilik curi tumpuan pengunjung stesen minyak
SHAH ALAM - Gelagat kanak-kanak Tabika Perpaduan Apartment Vista Subang menggayakan pakaian seragam tentera mencuri tumpuan pelanggan yang singgah di Stesen Minyak Petronas NKVE KM 15.3 Arah Damansara, pada Selasa.
Aksi 'tentera cilik' itu sempena menyerikan Sambutan Hari Malaysia yang diadakan di stesen minyak itu pada setiap tahun.
Penyelia Stesen Minyak Petronas NKVE KM 15.3 Arah Damansara, Ainil Hawa Ismail berkata, pakaian beragam lengkap itu membuatkan kanak-kanak itu kelihatan seperti anggota tentera sebenar.
"Setiap tahun, kami mengadakan kerjasama dengan Tabika Perpaduan Apartment Vista Subang sempena bulan kemerdekaan negara.
"Pada tahun lalu misalnya, kita mengangkat pakaian bertemakan Jalur Gemilang, tetapi tahun ini kita ingin menghargai jasa tentera yang telah mengerah keringat mempertahankan pertiwi daripada penjajah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ainil Hawa memberitahu, penampilan pakaian tentera itu sekali gus menarik minat generasi muda kepada pasukan beruniform selain menanam cita-cita menjadi anggota pasukan keselamatan suatu hari nanti.
"Kita tahu, ramai kanak-kanak apabila ditanya tentang minat, mereka akan menjawab ingin menjadi askar atau pasukan keselamatan lain dan ini menunjukkan jiwa patriotik subur dalam diri masing-masing sejak kecil lagi.
"Kita dapat lihat reaksi mereka sangat gembira apabila mengenakan pakaian ini di samping membawa senapang mainan dan sebagainya," tambahnya.
Jelasnya, program yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dimeriahkan dengan pelbagai acara membabitkan kakitangan stesen minyak dan kanak-kanak Tabika Perpaduan.
"Di pihak kami (Stesen Petronas) membuat persembahan abang macho, nyanyian lagu merdeka secara beramai-ramai dan solo.
"Paling penting, kita turut dihiburkan dengan persembahan kanak-kanak Tabika Perpaduan menerusi acara peragaan pakaian tentera, nyanyian kemerdekaan dan deklamasi sajak," tambah beliau.
Katanya, selain itu, pelbagai aktiviti permainan telah diadakan seperti muzik berirama, pecah belon dan gegelung berkumpulan serta edaran Jalur Gemilang.
"Stesen minyak ini aktif menganjurkan program bukan hanya melibatkan kanak-kanak Tabika, malah turut bersama-sama komuniti menjayakan pelbagai aktiviti lain.
"Antara aktiviti yang dilaksanakan seperti program ibadah korban dan menyediakan air balang percuma bertemakan Jalur Gemilang kepada pelanggan yang singgah di stesen minyak ini," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!