FAM kena sentiasa tegas

Laporan Sinar Harian Sabtu lalu.
Laporan Sinar Harian Sabtu lalu.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu sentiasa tegas bagi melaksanakan tindakan terhadap mana-mana pasukan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan khususnya saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, ketegasan itu dilihat selaras dengan status bola sepak negara yang berada dalam era profesional.

Justeru menurut Azzuddin, kegagalan melaksanakan tindakan tegas itu secara tidak langsung akan memberikan imej yang tidak baik terhadap bola sepak negara kepada negara-negara lain.

“Selama ini, kita terlampau bertimbang rasa. Kita bukan budak-budak lagi dan kita megah gembar-gembur kata kita dalam era profesional dan sebagainya. Tapi kita tak dapat galas tanggungjawab dan ini berikan imej tak baik kepada suasana bola sepak negara kita kepada negara lain.

“Kerana saya tengok hari ini, Malaysia sahaja yang berlengah (ambil masa lama) untuk laksanakan tindakan. Peraturan memang sudah jelas, jadi ambil tindakan sahajalah.

“Ini bukan arena politik. Ini sukan. Kalau politik bolehlah. Dolak-dalik. Nak jaga hati orang tu, nak jaga hati orang ni,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Azzuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bakal diambil FAM terhadap tiga pasukan iaitu Melaka United, Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sebelum ini dikenakan amaran ekoran kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji pemain masing-masing.

Sekiranya pasukan terbabit tidak melunaskan hutang atau melanggar perjanjian bersama pemain sebelum 28 Februari ini, enam mata pula akan ditolak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jika masalah itu masih berlarutan sehingga 30 Mac depan pasukan yang berkenaan berkemungkinan akan terus disingkirkan daripada Liga-M.

Hari ini, FAM dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan khususnya perkembangan terkini mengenai isu tunggakan gaji daripada ketiga-tiga pasukan berkenaan.

Mengulas lanjut Azzuddin berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya tindakan berkenaan (pemotongan tiga mata serta penyingkiran pasukan) sebagai lambang ketegasan FAM.

Katanya, ketegasan sedemikian perlu dibuat berikutan arena bola sepak negara sudah pun memasuki era profesional.

“Saya menyokong tindakan berkenaan. Perkara sedemikian (tunggakan gaji), pernah berlaku sebelum ini, dan saya menyokong tindakan tegas FAM (pemotongan tiga mata, penyingkiran daripada Liga M) itu.

“Kita berada dalam era profesional dan perkara ini menunjukkan kelemahan pengurusan pasukan berkenaan. Kalau tak boleh, tak dapat laksanakan tugas dengan profesional, baik tak payah ambil bahagian.

“Lagi satu, dari dahulu saya tengok, kita ni terlampau bertimbang rasa. Minta belas ehsan pengurusan bola sepak negara. Kalau tak dapat ikut segala keperluan dan penuhi syarat, tak payah ambil bahagianlah,” katanya.

Sementara itu, Azzuddin berkata, dia bersetuju dengan pendapat jurulatih Mohd Azraai Khor Abdulllah dan Irfan Bakti Abu Salim yang masing-masing mengatakan bahawa FAM perlu bertegas selain tidak lagi berlembut dalam perkara-perkara sedemikian.

Bagaimanapun katanya, semua tindakan berkenaan dilaksanakan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Ya, saya sependapat dengan mereka. Kita dah berpuluh tahun memasuki era profesional, tetapi masih lagi nak harap belas ehsan. Jadi, kita kena tegas. Persatuan bola sepak mana pun kena diuruskan dengan baik.

“Contoh, kalau dalam satu-satu liga tu ada 10 pasukan; tiga pasukan lagi tak bayar gaji dan disingkirkan. Liga masih boleh berjalan dengan hanya tujuh pasukan. Main sajalah.

“Benar, memang dulu pun kita ada hadapi masalah ini. Tetapi kita ambil tindakan tegas. Kalau tak, pasukan lain pun akan buat. FAM bukan buat apa pun, acah-acah saja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!